SHAH ALAM, 9 JUN: Polis merekodkan 41 kes penipuan penjualan tiket konsert BTS World Tour dengan jumlah kerugian hampir RM96,000 setakat ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata sindiket dikesan menawarkan tiket palsu menerusi media sosial, terutama bagi kategori VIP, Soundcheck dan Priority Access untuk konsert yang dijadual berlangsung pada 12 dan 13 Disember ini.
Menurutnya, suspek mendakwa mempunyai akses dalaman atau kuota khas untuk mendapatkan tiket yang sukar diperoleh, selain menawarkan tiket sebelum jualan rasmi dibuka, lapor Berita Harian.
"Mereka turut menggunakan tangkap layar palsu sebagai bukti tempahan dan meminta mangsa membuat bayaran segera melalui pindahan bank, DuitNow atau kod QR.
"Selepas bayaran dibuat, mangsa tidak menerima tiket yang dijanjikan atau suspek gagal dihubungi," katanya.
Beliau berkata risiko penipuan dijangka meningkat selepas tiket rasmi habis dijual berikutan permintaan tinggi dalam kalangan peminat.
Katanya, faktor Fear of Missing Out (FOMO) atau takut terlepas peluang menjadi antara punca peminat mudah terpedaya dengan tawaran tiket tidak sah.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan membeli tiket hanya melalui saluran rasmi yang diumumkan penganjur atau ejen sah.
Beliau turut menggesa orang ramai menyemak kesahihan akaun bank dan nombor telefon melalui portal Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi.
Mangsa yang mengesyaki ditipu diminta segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997.







