JOHOR BAHRU, 9 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 2,727,926 pemilih berdaftar yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang diwartakan pada 21 Mei.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata daripada jumlah itu, 2,703,175 merupakan pemilih biasa, manakala 24,751 terdiri daripada anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA), tentera dan pasangan tentera.
“Daripada jumlah tersebut juga, 56,655 pemilih merupakan orang kurang upaya (OKU) dan memerlukan perhatian khusus oleh SPR untuk mengundi dalam keadaan selesa,” katanya.
Khairul Shahril berkata jumlah pemilih itu juga tertakluk kepada kemas kini Daftar Pemilih Tambahan yang akan digunakan dalam PRN Johor, setelah ia diputuskan dalam Mesyuarat Khas yang akan diadakan 12 Jun ini.
“42,023 petugas pilihan raya dijangka dilantik dan digerakkan bagi melaksanakan keseluruhan urusan perjalanan PRN tersebut,” katanya.
Khairul Shahril berkata jumlah tersebut merangkumi 56 Pegawai Pengurus Pilihan Raya, petugas pilihan raya serta anggota keselamatan yang terlibat sepanjang tempoh pilihan raya.
Beliau berkata ketika ini, SPR sedang melaksanakan penelitian dan pengemaskinian maklumat berkaitan keseluruhan keperluan operasi serta logistik bagi pilihan raya itu.
“Secara prinsipnya, kos pelaksanaan pilihan raya bergantung kepada beberapa faktor termasuk jumlah pemilih berdaftar, bilangan pusat dan saluran mengundi, pelantikan petugas pilihan raya, keperluan logistik, penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat,” katanya.
Khairul Sharil berkata SPR sentiasa mengoptimumkan penggunaan sumber dan perbelanjaan awam, bagi memastikan setiap pilihan raya dapat dilaksanakan secara cekap, berhemah dan mengikut keperluan operasi sebenar.
DUN Johor dibubarkan 1 Jun lalu dan SPR akan menentukan tarikh penting bagi PRN pada 12 Jun, bersekali dengan tarikh PRN Negeri Sembilan.









