MAIS agih RM34,633 kepada 152 asnaf fakir dan miskin di Batu Caves

9 Jun 2026, 8:00 AM
MAIS agih RM34,633 kepada 152 asnaf fakir dan miskin di Batu Caves

SHAH ALAM, 9 JUN: Seramai 152 asnaf fakir dan miskin di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves menerima bantuan menerusi Program Agihan Fidyah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membabitkan peruntukan RM34,633.20 sempena Karnival Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026 yang berlangsung pada 6 Jun lalu.

MAIS menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya bagi memastikan amanah pembayaran fidyah oleh umat Islam di Selangor dapat disalurkan secara sistematik, telus dan berkesan kepada golongan yang layak.

Bantuan yang disalurkan merangkumi pelbagai keperluan asas harian termasuk beras, gula, minyak sawit, susu, produk makanan retort serta barang keperluan lain untuk meringankan beban kos sara hidup penerima.

"Program agihan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MAIS dalam memastikan amanah pembayaran fidyah oleh umat Islam di Negeri Selangor dapat disalurkan secara sistematik, telus dan berkesan kepada golongan yang berhak menerima manfaat," katanya.

Tambahnya, golongan asnaf fakir dan miskin yang berdepan cabaran ekonomi memerlukan sokongan berterusan bagi membantu memenuhi keperluan harian mereka.

Pada masa sama, MAIS memaklumkan Karnival PSPN 2026 anjuran Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan serta masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pemyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Turut hadir, Pengarah Sektor Pembangunan Sosial MAIS, Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Kanan Ekonomi dan Pembangunan Sosial MAIS, Dr Hajah Norraini Nordin serta pegawai-pegawai Unit Agihan Fidyah MAIS.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.