Gangguan elektrik Klinik Kesihatan Balok, kerja ganti komponen dijalankan

8 Jun 2026, 2:16 PM
Gangguan elektrik Klinik Kesihatan Balok, kerja ganti komponen dijalankan

KUANTAN, 8 JUN: Kerja penggantian komponen yang menyebabkan bekalan elektrik di Klinik Kesihatan Balok di sini terputus telah dijalankan, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

Beliau berkata gangguan bekalan elektrik yang berpunca daripada kerosakan pemutus litar bocor bumi (ELCB) pada kotak pengagihan elektrik telah menimbulkan kesulitan kepada petugas kesihatan dan mereka yang mendapatkan rawatan di situ.

Beliau juga memaklumkan telah berhubung dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) agar penilaian menyeluruh dijalankan untuk menilai keperluan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur klinik itu bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang.

“Langkah ini penting bagi memastikan fasiliti kesihatan berkenaan berada dalam keadaan yang lebih baik dan mampu memenuhi keperluan masyarakat untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Farhan berkata akan terus memantau perkembangan isu itu dan memastikan tindakan sewajarnya dapat diselaraskan dengan agensi berkaitan untuk kepentingan rakyat serta komuniti setempat.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas Klinik Kesihatan Balok yang terus komited menjalankan tanggungjawab serta memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di situ.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.