TNB sahkan kuil di Dengkil guna bekalan elektrik daripada papan iklan

10 Jan 2026, 4:15 AM
TNB sahkan kuil di Dengkil guna bekalan elektrik daripada papan iklan
TNB sahkan kuil di Dengkil guna bekalan elektrik daripada papan iklan

SHAH ALAM, 10 Jan: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan sebuah struktur kuil yang dibina di atas tanah persendirian di Dengkil, Sepang memperoleh bekalan elektrik secara tidak langsung melalui sambungan daripada papan iklan berhampiran lokasi berkenaan.

Dalam satu kenyataan di Facebook semalam, TNB memaklumkan semakan awal mendapati bekalan elektrik yang diluluskan oleh syarikat utiliti itu hanyalah bagi kegunaan papan iklan terbabit dan bukannya untuk struktur kuil berkenaan.

“Berdasarkan semakan awal, bekalan elektrik hanya diberi kepada papan iklan berhampiran kuil manakala pihak kuil telah mendapatkan bekalan elektrik secara terus melalui papan iklan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Isu berkenaan tular di media sosial susulan dakwaan seorang pesara, Suhaili Ahmad, 70, yang mendakwa tanah miliknya seluas kira-kira satu ekar di Taman Topaz, Dengkil dicerobohi selepas mendapati sebuah kuil dibina tanpa kebenaran.

Beliau mendakwa kewujudan struktur itu hanya disedari ketika melawat tapak tanah terbabit baru-baru ini selepas menerima tawaran pembelian, selain mendakwa kuil berkenaan telah dibina semula dan diperbesarkan tanpa pengetahuannya sejak tanah itu dibeli pada 2001.

Menurut TNB lagi, pihaknya kini sedang memantau situasi itu dengan teliti bagi memastikan semua langkah keselamatan elektrik di kawasan sekitar dipatuhi dan berada dalam keadaan selamat demi melindungi keselamatan orang awam.

“Kami juga akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan pihak berkaitan sekiranya diperlukan,” katanya.

Sebelum ini, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang menasihatkan pemilik tanah supaya segera mengambil tindakan undang-undang melalui saluran yang betul.

Menurut PDT Sepang, sebarang kerja perobohan struktur hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat perintah mahkamah sivil kerana tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa hanya terpakai bagi pencerobohan di atas tanah kerajaan, tanah rizab dan tanah perlombongan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) Akta 828.

“Bagi tanah milik persendirian, hak pemilikan, penjagaan serta tindakan terhadap sebarang bentuk pencerobohan terletak sepenuhnya di bawah tanggungjawab pemilik tanah seperti diperuntukkan dalam Seksyen 44(1)(a) Kanun Tanah Negara,” menurut kenyataan PDT Sepang di Facebook.

Jelasnya, pencerobohan ke atas tanah persendirian merupakan pertikaian sivil antara pemilik tanah dan penceroboh, justeru pemilik tanah bertanggungjawab memulakan prosiding serta tindakan undang-undang yang wajar.

PDT Sepang turut menasihatkan pemilik tanah supaya membuat laporan polis sebagai dokumentasi rasmi dan keterangan awal bagi tujuan litigasi, selain melantik peguam.

Agensi itu dalam masa sama menzahirkan komitmen untuk menangani isu pencerobohan tanah secara berhemah demi kepentingan umum, serta menasihatkan pemilik tanah agar mengelakkan sebarang tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau melakukan tindakan yang boleh mencetuskan kekeliruan serta kegusaran awam,” katanya.