KUALA LUMPUR, 8 Jun: Kartunis veteran Datuk A. Rahim Muda atau Imuda mengangkat realiti kehidupan penghuni rumah flat menerusi komik Flat Sri Wangi yang mengetengahkan kisah harian masyarakat dalam suasana santai dan menghiburkan.
Imuda, 66, berkata komik tersebut menampilkan watak-watak yang diadaptasi daripada sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu menggambarkan kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang tinggal bersama dalam sebuah kawasan perumahan.
"Kita kartunkan watak-watak Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Kita gambarkan cerita masyarakat majmuk yang hidup bersama dalam sebuah flat bernama Flat Sri Wangi.
"Kisah yang dipaparkan ialah perkara-perkara yang berlaku setiap hari antara penduduk. Saya sampaikan dalam bentuk humor supaya pembaca terhibur apabila membaca cerita masyarakat dan rakyat marhaen ini," katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di sini, baru-baru ini.

Pelakon terkenal asal Pulau Pinang itu berkata, idea menghasilkan komik itu lahir daripada pengalaman sendiri yang pernah tinggal di flat dan menyaksikan pelbagai ragam kehidupan penduduk setiap hari.
"Kita tidak menceritakan kesusahan mereka. Saya buat cerita ini untuk menghiburkan semua orang.
"Saya pernah duduk di flat. Saya tahu macam mana kehidupan di sana, apabila lif rosak, berlaku kecurian dan pelbagai situasi lain. Sebab itu tidak susah untuk saya mencari idea berkaitan kehidupan di flat," katanya.
Naskhah Flat Seri Wangi yang mempunyai 83 muka surat itu menampilkan watak-watak seperti Pak Uda, Mak Ngah, Mat Over dan Lucy. yang pernah jadi fenomena pada tahun 1980an.
Imuda yang memegang watak Budin berkata kartun merupakan medium yang dekat dengan masyarakat kerana mampu menyampaikan mesej secara mudah dan santai berbanding bahan bacaan yang sarat dengan teks.
"Kartun lebih dekat dengan masyarakat supaya mereka lebih faham, lebih santai dengan apa yang saya cuba sampaikan," katanya lagi.
Dalam pada itu, Imuda berkata beliau memilih untuk menjual karya-karyanya secara fizikal bagi memberi peluang kepada pembaca bertemu dengannya secara langsung.
"Saya sentiasa ada di mana-mana pesta buku. Saya tidak jual secara iklan atau di kedai buku supaya pembeli dapat jumpa saya, bersua muka dan 'meet and greet' dengan saya. Itu matlamat saya yang paling penting," katanya.








