KUALA LUMPUR, 8 JUN: Beg tarik atau 'luggage' kini menjadi kelengkapan wajib bagi sebahagian pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk memborong buku kegemaran mereka.
Fenomena itu jelas kelihatan apabila ramai pembaca tegar membawa beg tarik bagi memudahkan urusan membawa pulang puluhan naskhah buku yang dibeli sepanjang pesta berkenaan.
Bagi Adlina Afiqah, 27, dan ibunya, Siti Addila, 54, persediaan ke pesta buku kali ini turut melibatkan penginapan di hotel berhampiran bagi memudahkan aktiviti membeli-belah.
“Sebenarnya daripada semalam (kelmarin), kita duduk di Hotel Seri Pacific. Semalam ada sejam ke dua jam macam itu. Malam itu (pula) sebelum tutup dan hari ini sambung.
“Memang tahu akan beli banyak buku. Jadi sebab itu kita bawa beg lah,” kata Adlina kepada Media Selangor.

Menurut Siti Addila pula, jumlah buku yang dibeli memaksanya berulang-alik antara lokasi pesta, hotel dan kereta untuk menyimpan hasil pembelian.
“Sebenarnya tadi dah beli. Lepas itu letak dekat hotel. Kemudian masuk dalam kereta, lepas itu beli lagi letak dan kosongkan balik,” katanya.
Beliau menganggarkan lebih RM1,000 dibelanjakan sepanjang kunjungan ke pesta buku tersebut.
“Kalau tanya saya, dah berpuluhlah (buku) sebenarnya dan kos (pembelian) pun RM1,000 lebih dah.
“Sebab saya memang peminat buku. Jadi saya memang nak kata bajet tu tak lah. Apa yang saya nak, saya beli,” katanya.
Tambah beliau, lokasi PBAKL di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) lebih sesuai kerana mudah diakses melalui pengangkutan awam dan mempunyai kemudahan parkir yang mencukupi.

Sementara itu, pegawai undang-undang Rizq Nurrqausar R M Bakri berkata pengalaman mengangkat buku dalam jumlah banyak pada tahun-tahun sebelumnya mendorong beliau membawa beg tarik pada kali ini.
“Sebab itulah sebelum ini kita dah datang juga pesta buku ini tapi tak bawa luggage dan kadang-kadang tu beratkan. Jadi tahun ni kita ubahlah strategi, kita bawa luggage supaya kita boleh berbelanja dengan lebih selesa,” katanya.
Beliau yang meminati buku pembangunan diri dan bukan fiksyen memperuntukkan kira-kira RM500 untuk berbelanja pada tahun ini.
“Tapi walau bagaimanapun, perasan kita membaca di skrin dan membaca (sambil) pegang (buku fizikal) tu berbeza. Jadi saya rasa kita patut galakkan lah komuniti kita untuk datang dan teruskan budaya membaca,” katanya.
Bagi pelajar, Amirul Ridwan Zul Akmar, 23, pengalaman membaca buku fizikal masih mempunyai nilai tersendiri berbanding kandungan digital.

“Kadang saya suka pegang benda (buku) tu daripada scroll (menatal) lah. Sebab apabila kita terlalu banyak scroll, kita kadang-kadang terlupa apa sebenarnya yang kita baca,” katanya.
Dalam pada itu, warga Indonesia, Julia Austutio, 44, berkata diskaun sehingga 50 peratus yang ditawarkan penerbit menjadi antara faktor utama beliau membawa beg tarik dan berbelanja ratusan ringgit untuk keluarganya.
“Anak-anaklah yang motivasi saya, nanti dia senang baca di rumah, kurangkan gajet. Jadi saya termotivasi lah untuk beli ini (buku), biar mereka tidak sibuk dengan gajet,” katanya.
Julia yang menetap di Malaysia hampir sedekad menganggarkan lebih RM600 dibelanjakan sepanjang dua hari kunjungannya, termasuk membeli buku sebagai hadiah untuk rakan-rakan.











