Nahas Proton X50: MOT tunggu hasil siasatan penuh

8 Jun 2026, 5:23 AM
Nahas Proton X50: MOT tunggu hasil siasatan penuh

SHAH ALAM, 8 JUN: Kementerian Pengangkutan (MOT) masih menunggu hasil siasatan pihak berkuasa sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung kemalangan yang mengorbankan enam sekeluarga di Sungai Petani, Kedah, semalam.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata kementerian itu tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai punca kejadian selagi laporan lengkap siasatan belum diperoleh.

“Kita masih menunggu siasatan, saya tidak boleh komen dahulu. Saya tidak mahu membuat kesimpulan awal.

“Saya tidak boleh mengatakan lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Forum Transit Rel Antarabangsa (IRTF) 2026 seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan masalah pada kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang dinaiki mangsa menjadi punca kemalangan tersebut.

Menurut Hasbi, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat secara menyeluruh bagi memastikan punca sebenar kejadian dikenal pasti.

Semalam, enam sekeluarga dilaporkan maut selepas SUV yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan tanah.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, seorang lagi mangsa yang juga kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan cedera parah dan sedang menerima rawatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.