“Adik nampak sangat seronok...” keterujaan Iskandar naik kereta baharu berakhir tragedi

8 Jun 2026, 1:19 AM
“Adik nampak sangat seronok...” keterujaan Iskandar naik kereta baharu berakhir tragedi

SHAH ALAM, 8 JUN: “Adik nampak sangat seronok sebab nak ikut nenek dan bapa saudaranya naik kereta Proton X50 yang baru dibeli.”

Itu kenangan terakhir yang masih segar dalam ingatan Norzamilah Ghazali apabila mengenangkan anak saudaranya, Iskandar Affan Ibrahim, 7, yang maut bersama lima ahli keluarga lain dalam kemalangan di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani pada Ahad.

Menurut wanita berusia 50-an itu, keterujaan Iskandar untuk menaiki kenderaan baharu milik bapa saudaranya jelas terpancar ketika ahli keluarga berkenaan tiba di rumah bapanya di Taman Bertam, Pulau Pinang.

“Masa itu arwah sedang makan. Sebaik sahaja nampak mereka sampai, dia terus basuh tangan dan meluru keluar. Semua yang berada dalam kereta itu menunggunya di luar rumah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar malam tadi seperti dilapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, kegembiraan itu bertukar tragedi apabila Proton X50 yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah.

Selain Iskandar, mangsa yang maut ialah neneknya, Nora Mhd Husin, 55; pemandu kenderaan, Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29; isterinya, Jamaliah Sannusi, 29; adik Ahmad Shafiq, Ahmad Fahim, 21; serta bayi pasangan itu, Ahmad Mikail Ahmad Shafiq yang berusia dua bulan.

Seorang lagi penumpang, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, terselamat namun mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Norzamilah berkata ahli keluarganya dari Bukit Mertajam tiba di rumah adiknya, Ibrahim Ghazali, kira-kira jam 2.30 petang bagi meraikan hari lahir lelaki itu.

Menurutnya, mereka kemudian meninggalkan rumah berkenaan untuk meneruskan perjalanan sebelum keluarganya menerima berita menyayat hati kira-kira sejam kemudian.

“Pada mulanya saya mendapatkan maklumat Nora yang meninggal dunia. Namun apabila dimaklumkan enam orang terkorban dan hanya seorang terselamat, saya benar-benar terkejut,” katanya.

Beliau berkata Ahmad Fahim yang baru menamatkan pengajian dan bekerja di sebuah pasar raya di Pulau Pinang membeli kenderaan itu pada hari sama sebelum tragedi berlaku.

Katanya, mereka dipercayai dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur bapa Ahmad Shafiq dan Ahmad Fahim.

“Namun kami tidak sangka perjalanan itu berakhir dengan tragedi dan mereka pergi buat selama-lamanya,” katanya sebak.

Terdahulu, Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah turut menziarahi jenazah keenam-enam mangsa di Jabatan Forensik HSB bagi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang ditimpa musibah itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.