Pesta buku KL kuatkan ikatan keluarga, jana minda kritis musim cuti sekolah

8 Jun 2026, 4:53 AM
Pesta buku KL kuatkan ikatan keluarga, jana minda kritis musim cuti sekolah
Pesta buku KL kuatkan ikatan keluarga, jana minda kritis musim cuti sekolah
Pesta buku KL kuatkan ikatan keluarga, jana minda kritis musim cuti sekolah
Pesta buku KL kuatkan ikatan keluarga, jana minda kritis musim cuti sekolah
Pesta buku KL kuatkan ikatan keluarga, jana minda kritis musim cuti sekolah

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 kembali lagi menonjolkan kemeriahannya menjadi destinasi tumpuan yang bukan sekadar sebuah tapak jualan buku raksasa, malah sebuah syurga ilmu yang mampu mengubah landskap pemikiran masyarakat. Di tengah-tengah kesibukan kota, pesta buku ini berdiri teguh sebagai jambatan yang menghubungkan manusia dengan dunia pembacaan.

Kehadiran pesta buku ini sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap lapisan masyarakat terutamanya golongan ibu bapa yang sentiasa mencari peluang terbaik untuk memberikan pengisian bermakna buat anak-anak mereka. PBAKL 2026 bukan lagi sekadar acara tahunan untuk para ulat buku membeli-belah tetapi ia telah berevolusi menjadi sebuah platform sosial dan pendidikan yang sangat dinamik. Merentasi ribuan gerai pameran, jutaan naskhah buku daripada pelbagai genre melambangkan kekayaan khazanah intelek yang sedia untuk diterokai. Bagi institusi kekeluargaan, acara berprestij ini menawarkan satu ruang atur cara yang amat bernilai untuk dimanfaatkan bersama. Ia bukan sahaja mengumpulkan para penulis, penerbit dan pencinta buku dari dalam dan luar negara, malah turut menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia moden yang semakin dihanyutkan oleh arus digital.

Satu daripada dimensi paling utama yang ditawarkan oleh PBAKL 2026 ialah peluang untuk membina dan memperkukuh masa berkualiti bersama keluarga. Dalam era moden yang serba pantas ini, ibu bapa sering kali terperangkap dengan komitmen kerjaya yang padat manakala anak-anak pula cenderung leka dengan gajet masing-masing di rumah. Jurang komunikasi yang kian melebar ini boleh dirapatkan sebaik sahaja sebuah keluarga menjejakkan kaki ke ruang legar pesta buku. Di sini, interaksi fizikal secara sihat berlaku apabila ibu bapa dan anak-anak berjalan beriringan menerokai barisan rak buku yang tersusun rapi. Detik bersama-sama memilih bahan bacaan yang sesuai menjadi ruang perbincangan yang harmoni dan penuh tawa. Ibu bapa boleh bertanyakan tentang minat semasa anak-anak, mendengar pendapat mereka dengan teliti dan dalam masa yang sama berkongsi pengajaran buku-buku kegemaran zaman kanak-kanak mereka sendiri.

Aktiviti santai sebegini secara tidak langsung mengeratkan ikatan emosi yang mungkin longgar akibat kesibukan harian. Melalui pengalaman bersama di pesta buku, anak-anak akan membesar dengan memori indah bahawa aktiviti menuntut ilmu adalah satu perkara yang menyeronokkan dan dilakukan bersama orang-orang tersayang. Masa berkualiti ini melampaui sekadar duduk bersama di meja makan atau menonton televisyen. Ia adalah perkongsian minda, rasa dan minat yang membina jiwa kekeluargaan yang utuh.

Kebiasaannya, penganjuran PBAKL selalunya bertembung atau berlangsung dalam musim cuti sekolah. Jadi, peluang keemasan ini seharusnya diambil sepenuhnya oleh ibu bapa untuk memanfaatkannya dengan aktiviti yang berfaedah dan bernilai tinggi. Sering kali cuti sekolah berlalu begitu sahaja dengan anak-anak menghabiskan masa menonton rancangan hiburan atau bermain permainan video tanpa hala tuju yang produktif. Membawa keluarga ke pesta buku merupakan satu pelan alternatif yang sangat bijak dan efisien. Di pesta buku, suasana pembelajaran luar kelas berlaku secara semula jadi tanpa sebarang paksaan. Anak-anak dipaparkan dengan realiti bahawa ilmu itu sangat luas dan tidak hanya terhad kepada silibus buku teks sekolah semata-mata. Mengisi masa cuti sekolah dengan memburu buku kegemaran dapat mengelakkan berlakunya fenomena kemerosotan akademik musim cuti di mana minda anak-anak menjadi pasif dan malas berfikir. Sebaliknya, berada di persekitaran yang dipenuhi buku, aktiviti pelancaran karya dan sesi kuiz interaktif akan mengekalkan momentum minda anak-anak supaya sentiasa aktif dan bersedia untuk belajar. Ini membuktikan bahawa cuti sekolah bukanlah musim untuk berhenti berfikir melainkan ruang terbaik untuk menerokai ilmu baru tanpa tekanan peperiksaan.

Matlamat jangka panjang yang paling kritikal dalam kunjungan ke PBAKL 2026 adalah untuk memupuk minat membaca yang mendalam serta melahirkan generasi yang mampu berfikir secara kritis. Membaca bukan sekadar proses mekanikal mengeja perkataan tetapi satu proses menyerap, menganalisis, membanding dan mempersoalkan maklumat yang diterima. Di PBAKL, variasi buku sejarah, falsafah, sains dan sains sosial membuka ruang kepada pembaca muda untuk melihat dunia dari pelbagai perspektif yang berbeza. Apabila anak-anak didedahkan dengan pelbagai aliran pemikiran melalui pembacaan, mereka belajar untuk tidak menerima sesuatu maklumat secara melulu atau membuta tuli. Mereka mula bertanya

"mengapa" dan "bagaimana" yang merupakan asas utama kepada kemahiran berfikir secara kritis. Dalam dunia hari ini yang penuh dengan lambakan berita palsu, dwi-standard dan maklumat tidak sahih di media sosial, keupayaan berfikir kritis adalah benteng pertahanan utama negara. Melalui amalan membaca yang dipupuk sejak awal, individu mampu menilai impak sesuatu isu, membandingkan fakta secara objektif dan membuat keputusan yang rasional. PBAKL 2026 menyediakan "gudang senjata" intelek ini kepada masyarakat agar kita tidak menjadi bangsa yang mudah diperbodohkan atau bertindak mengikut emosi semata-mata.

Selain pemikiran kritis, aspek kreativiti juga mendapat suntikan yang luar biasa melalui penganjuran pesta buku ini. Buku-buku fiksyen, novel grafik, komik pendidikan dan karya sastera kreatif yang dipamerkan di PBAKL merupakan pencetus imaginasi yang sangat berkuasa. Kreativiti bermula apabila minda seseorang mampu membayangkan sesuatu yang berada di luar kotak realiti fizikal mereka. Melalui helaian muka surat, pembaca dibawa mengembara ke zaman lampau, menerawang ke masa hadapan atau meneroka ke dimensi dunia fantasi yang melatih otak kanan untuk berfungsi dengan lebih inovatif. Kehadiran ke program sebegini memberi inspirasi kepada golongan muda untuk bukan sahaja menjadi pengguna ilmu tetapi juga sebagai pencipta kandungan pada masa hadapan. Minda yang kreatif amat diperlukan dalam dunia pekerjaan alaf baharu di mana penyelesaian masalah yang unik dan inovasi luar biasa menjadi ukuran kejayaan sesebuah negara di pentas global.

Secara keseluruhannya, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 adalah sebuah festival minda yang memiliki impak sosial yang amat mendalam buat sesebuah institusi kekeluargaan dan negara. Ia bukan sekadar sebuah pasar mini untuk urusan jual beli tetapi sebuah pusat pembudayaan ilmu yang komprehensif dan inklusif. Melalui perancangan yang baik, kunjungan ke pesta buku ini mampu mentransformasikan masa cuti sekolah yang biasa menjadi satu pengembaraan intelek yang luar biasa untuk seisi keluarga. Pelaburan wang ringgit untuk membeli buku-buku berkualiti tidak akan pernah sia-sia kerana pulangannya adalah pembentukan modal insan yang kaya dengan nilai kepimpinan, berpandangan jauh serta tajam pemikirannya. Ibu bapa memegang watak utama dalam mencorakkan budaya ini dengan langkah pertama bermula dengan memegang tangan anak-anak dan melangkah masuk ke dewan pameran PBAKL 2026. Marilah kita jadikan

momentum pesta buku ini sebagai titik tolak untuk melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bukan sahaja berilmu, malah kritis, kreatif dan mempunyai jati diri yang kukuh demi mendepani cabaran masa hadapan.

Nik Mohd Nasrun bin Nik Abdullah merupakan pelajar pascasiswazah program Sarjana Pengajian Islam (MIS) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.