Kanak-kanak 11 tahun maut jatuh dari tingkat tujuh pangsapuri di Kajang

15 Jun 2026, 3:58 PM
Kanak-kanak 11 tahun maut jatuh dari tingkat tujuh pangsapuri di Kajang

SHAH ALAM, 15 JUN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Taman Sepakat Indah, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 kira-kira jam 7.12 pagi berhubung kejadian di Blok AB, Apartment Sri Lavender.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan kanak-kanak lelaki tempatan berusia 11 tahun yang terjatuh dari tingkat tujuh bangunan berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan turut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika disabitkan kesalahan, individu yang bertanggungjawab boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Naazron menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memastikan keselamatan kanak-kanak, khususnya di kawasan kediaman bertingkat.

Beliau berkata pergerakan kanak-kanak perlu sentiasa dipantau oleh orang dewasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berdepan sebarang kecemasan diminta menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-89114243 untuk tindakan lanjut.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.