SHAH ALAM, 8 Jun: Gempa bumi kuat berukuran magnitud 7.9 melanda Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Susulan kejadian itu, gegaran turut dirasai di Tawau, Semporna dan beberapa kawasan sekitarnya di Sabah.
"Gempa itu berlaku pada koordinat 5.7 darjah utara dan 125.1 darjah timur pada kedalaman 50 kilometer.
"Pusat gempa dikesan kira-kira 97 kilometer di selatan Koronadal City, Filipina," katanya dalam kenyataan hari ini.
MetMalaysia memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan kejadian berkenaan.
Orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi itu diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan MET Malaysia bagi membantu proses pengumpulan maklumat dan penilaian kesan gegaran.
Maklumat lanjut mengenai kejadian itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa berkaitan.





