Pemimpin masyarakat perlu sabar hadapi cabaran, bersama bangunkan negara

7 Jun 2026, 11:30 AM
Pemimpin masyarakat perlu sabar hadapi cabaran, bersama bangunkan negara

SUNGAI PETANI, 7 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin masyarakat perlu mempunyai tahap kesabaran tinggi dalam mendepani cabaran semasa, selain terus komited bersama-sama Kerajaan MADANI untuk menjayakan agenda pembangunan negara.

Beliau berkata walaupun berdepan dengan pelbagai tohmahan, menjadi tanggungjawab para pemimpin untuk terus menyempurnakan segala amanah yang diberikan oleh rakyat.

"Untuk membangunkan (negara), ia lebih mencabar dan sukar dan lebih menuntut kesabaran, kebijaksanaan. Kesabaran ini dituntut dalam al-Quran dan ia bukan mudah.

"Hendak bersyarah ikut mulut, melemparkan makian memang mudah. Misalnya mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), saya kena maki teruk, tapi dahulu PAS, Bersatu semua sokong iktiraf UEC, apa beza dengan sekarang?," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pertemuan Mesra bersama Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) negeri Kedah di Universiti Teknologi MARA, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Dalam pada itu, Anwar berkata pemimpin masyarakat juga perlu mempunyai maklumat mencukupi serta mengetahui kaedah terbaik untuk menyampaikannya kepada orang ramai.

Perdana Menteri berkata beliau juga tidak akan melayan sebarang sindiran terhadapnya, sebaliknya akan terus menumpukan usaha kepada agenda pembangunan ekonomi negara dan melakukan apa yang terdaya bagi mengurangkan beban rakyat.

"Susah macam mana pun, kalau masalah orang susah, saya tidak pernah kata tangguh. Kalau tandas sekolah rosak, rumah bocor, saya cari jalan (penyelesaian). Potonglah elaun menteri pun," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar setiap institusi kekeluargaan dijaga dan disusun dengan baik, selain melatih anak-anak dengan kemahiran dalam bidang serta teknologi baharu supaya mereka menjadi lebih baik berbanding generasi terdahulu.

"(Menguasai) kecerdasan buatan (AI) kita perlu ada nilai, ada akhlak, asas agama. Kalau ada yang menyesatkan kita sekat. Negara hendak maju tidak boleh tinggal asas akidah dan akhlak," kata Anwar.

-- BERNAMA

TAG: Anwar Ibrahim, pemimpin masyarakat, sabar, rakyat, ekonomi, AI

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.