Jaslinda stabil, jalani pemantauan lanjut di Hospital Tapah

7 Jun 2026, 9:31 AM
Jaslinda stabil, jalani pemantauan lanjut di Hospital Tapah

TAPAH, 7 JUN: Tahap kesihatan pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang ditemukan selamat selepas 14 hari dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih di sini semalam, dilaporkan stabil namun masih memerlukan rawatan dan pemantauan lanjut di Hospital Tapah.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata wanita berkenaan juga telah menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang dilakukan di Hospital Teluk Intan awal pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius, namun masih memerlukan pemantauan rapi dan beberapa pemeriksaan lanjut bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata tempoh rawatan ditentukan berdasarkan perkembangan keadaan kesihatan mangsa dari semasa ke semasa.

Semalam, Jaslinda ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira 5 petang oleh seorang penduduk kampung.

Wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh bersama-sama 13 individu dan dua Malim Gunung Perhutanan.

-- BERNAMA

TAG: Feisul Idzwan Mustapha, Perak, pendaki, wanita, stabil, hospital, pantau, rawat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.