Henti amalan beratur panjang terima bantuan, salur secara digital – PM

7 Jun 2026, 5:29 AM
Henti amalan beratur panjang terima bantuan, salur secara digital – PM
Henti amalan beratur panjang terima bantuan, salur secara digital – PM

SHAH ALAM, 7 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu amalan rakyat beratur panjang untuk menerima bantuan kewangan dihentikan dan digantikan dengan kaedah penyaluran lebih moden serta berasaskan teknologi.

Menurut beliau, pendekatan tersebut tidak selari dengan perkembangan semasa selain boleh menjejaskan maruah penerima bantuan.

“Saya tidak setuju kalau sekarang, tahun 2026, rakyat masih lagi perlu beratur (untuk terima bantuan). Ini bukan soal politik pilihan raya. Jangan anggap rakyat itu hamba.

“Kita sekarang merdeka, berdaulat, rakyat ada harga, ada hak, ada kebebasan dan ada semangat kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor di Batu Pahat semalam.

Menurut Anwar, Kerajaan MADANI kini memberi tumpuan kepada kaedah penyaluran bantuan secara terus ke akaun bank penerima bagi memastikan bantuan sampai dengan lebih cepat, cekap dan bermaruah.

Beliau berkata pendekatan itu membolehkan pelbagai bentuk bantuan kerajaan disalurkan tanpa memerlukan penerima hadir ke lokasi tertentu atau menunggu dalam barisan yang panjang.

Antara bantuan yang disalurkan menerusi kaedah berkenaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi meneruskan pelaksanaan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun ini.

Inisiatif itu dijangka memanfaatkan kira-kira sembilan juta penerima di seluruh negara.

Pembayaran STR dilaksanakan dalam empat fasa dengan kadar bantuan berbeza mengikut kategori penerima, termasuk isi rumah, warga emas dan individu bujang yang layak.

Sementara itu, SARA disalurkan melalui pengkreditan terus ke MyKad penerima bagi membolehkan mereka membeli barangan keperluan asas di premis yang mengambil bahagian.

Bagi BAP pula, kerajaan menyediakan peruntukan RM800 juta dengan kadar bantuan RM150 bagi setiap murid, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta pelajar di seluruh negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.