SHAH ALAM, 7 JUN: Malaysia dijangka berdepan fenomena cuaca lebih panas dan kering bermula bulan ini susulan kemungkinan berlakunya ‘Super El Nino’ yang boleh berlarutan sehingga April atau Mei tahun depan.
Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang memberi amaran fenomena itu berpotensi meningkatkan risiko kemarau berpanjangan, gelombang haba, kebakaran hutan, jerebu serta krisis bekalan air dan makanan.
Fredolin berkata Malaysia kini berada di ambang fenomena El Nino ekstrem yang dijangka memberi kesan besar kepada negara.
“Kita berada di ambang El Nino ekstrem. Ia hampir berlaku, berskala besar dan kita akan merasai kesannya,” katanya seperti dilapor NST.
Menurut beliau, kesan fenomena itu dijangka dirasai dari bulan ini sehingga April atau Mei tahun hadapan, sekali gus meningkatkan kebarangkalian cuaca panas melampau, kemarau dan jerebu rentas sempadan.
Beliau berkata perubahan iklim juga menyebabkan cuaca semakin tidak menentu, termasuk kejadian ribut petir dan banjir kilat yang berlaku secara mendadak.
Katanya, kajian menunjukkan intensiti ribut di Kuala Lumpur meningkat secara berterusan sepanjang tiga dekad lalu, sekali gus meningkatkan risiko kejadian cuaca ekstrem di kawasan bandar.

Sehubungan itu, Fredolin mencadangkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memperluaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketepatan ramalan cuaca dan memberi amaran awal terhadap banjir kilat.
“Penyelidikan perlu diteruskan. Pihak berkuasa perlu meneroka bagaimana AI boleh menambah baik ramalan dan memanjangkan tempoh amaran awal,” katanya.
Sementara itu, Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata pembangunan pesat dan sistem perparitan yang tidak seiring menjadi antara faktor utama banjir kilat berulang di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Menurutnya, kawasan Lembah Klang yang dibangunkan di kawasan dataran banjir Sungai Klang sememangnya lebih terdedah kepada kejadian banjir ketika hujan lebat.
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan mengadaptasi konsep “bandar span” (sponge city) dengan memperbanyakkan kawasan hijau, hutan bandar dan takungan air bagi mengurangkan risiko banjir serta kesan pulau haba.
Azizan berkata Malaysia juga perlu bersedia menghadapi musim lebih kering dalam tempoh beberapa bulan akan datang berdasarkan model iklim yang menunjukkan kebarangkalian El Nino mencecah 82 peratus antara Mei hingga Julai.
Katanya, kebarangkalian itu dijangka meningkat kepada 96 peratus menjelang Disember hingga Februari tahun depan, sekali gus membuka ruang kepada gelombang haba dan jerebu apabila musim pembakaran terbuka bermula di Indonesia.






