SHAH ALAM, 9 JUN: Ramai tidak menyedari mereka berdepan isu kesihatan mental, sebaliknya terus menjalani kehidupan tanpa mendapatkan bantuan sehingga keadaan mereka benar-benar teruk.
Menurut pegawai Psikologi Pusat Kaunseling Selangor (PKS) yang mendedahkan perkara tersebut, mereka hanya menyedari situasi sebenar apabila gagal menjalani rutin harian dengan baik.
Faridah Abdul Jalil @ Abas memberitahu sebahagian mereka juga dikesan hidup dalam penafian dengan memilih untuk memendam masalah tanpa mendapatkan bantuan sewajarnya.
“Kalau seseorang sudah tidak mampu menjalani rutin harian dengan baik, itu antara tanda mereka perlu mendapatkan bantuan profesional,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau menjelaskan tindakan mendapatkan pandangan rakan atau ahli keluarga kadangkala tidak memadai kerana mereka mungkin tidak berlaku adil terhadap masalah seseorang individu.
Katanya, ada individu hanya mendapatkan bantuan selepas emosi mereka benar-benar terganggu hingga menjejaskan hubungan dengan keluarga, pekerjaan mahupun kehidupan harian.

“Kadang-kadang bila datang ke sini, mereka sendiri baru sedar rupa-rupanya sudah lama menyimpan tekanan,” katanya lagi.
Justeru, Faridah percaya bantuan profesional penting bagi membantu seseorang individu untuk memahami emosi sendiri selain mencari kaedah penyelesaian yang lebih sihat lagi selamat.
“Semua orang ada kesihatan mental sama seperti kesihatan fizikal. Bila kita stres atau tertekan, itu normal tetapi perlu tahu bila masanya untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan golongan berusia antara 20 hingga 40 tahun antara paling ramai mendapatkan bantuan kerana mereka berada dalam tempoh kehidupan yang mencabar.
“Golongan ini sebenarnya 'fragile' ataupun rapuh kerana masih belum matang sepenuh-nya dalam mengurus emosi dan tekanan,” katanya.
Faridah memberitahu, gejala media sosial juga antara faktor yang mempengaruhi kesejahteraan psikologi masyarakat masa kini khususnya kalangan yang menetap di bandar besar seperti Lembah Klang.
“Orang yang tinggal di bandar lebih berisiko mengalami tekanan emosi dan psikologi.”
Selain itu, isu kekeluargaan dikenal pasti antara punca utama tekanan emosi dalam kalangan masyarakat yang mendapatkan bantuan kaunseling.

Paling kerap dikongsikan antaranya hubungan dalam perkahwinan, konflik dengan pasangan dan masalah melibatkan ibu mentua dan anak-anak.
“Kadang-kadang orang nampak ia sebagai masalah kesihatan mental tetapi bila dilihat semula punca utama sebenarnya adalah isu keluarga,” katanya.
Namun, beliau mengingatkan tekanan emosi yang tidak ditangani dengan baik berupaya memberi kesan terhadap kesihatan mental kepada mana-mana individu dalam jangka panjang.
“Kalau tidak ditangani, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang lebih serius,” katanya.
Menurut Faridah, semakin ramai rakyat Selangor tampil mendapatkan bantuan berkaitan kesihatan mental melalui Talian SEHAT dan perkhidmatan di Pusat Kaunseling Selangor sejak ia diperkenal pada 2021.
Beliau menyifatkan perkembangan berdasarkan statistik pusat tersebut yang menunjukkan masyarakat semakin terbuka untuk mendapatkan bantuan professional.
“Bila orang datang mendapatkan perkhidmatan, itu bermaksud mereka sudah mula cakna tentang kesihatan mental,” katanya.








