Makin ramai anak muda diserang angin ahmar

8 Jun 2026, 6:00 AM
Makin ramai anak muda diserang angin ahmar

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Serangan angin ahmar atau strok yang sinonim dengan warga emas kian membimbangkan ekoran hampir 40 peratus bilangan keseluruhan pesakit berkenaan di negara ini terdiri dalam kalangan anak muda.

Menurut pakar perunding Neorologi dan Strok di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), perkembangan semasa menunjukkan peningkatan ketara kelompok usia pertengahan.

"Paling muda yang pernah saya rawat adalah berumur 23 tahun. Ini agak berbeza dahulu. Sebagai pakar runding, saya lihat perkara ini menjadi semakin kerap. Hampir 40 peratus pesakit strok keseluruhan berdekatan umur 40 hingga 50 tahun.

Pakar Perunding Neorologi dan Strok di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dato’ Dr Wan Asyraf Wan Zaidi

"Bagi definisi strok muda adalah 45 tahun ke bawah. Ini semakin banyak. (Angka) 40 peratus ini bukan angka kecil,” kata Prof Madya Dato’ Dr Wan Asyraf Wan Zaidi kepada Media Selangor.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Strok Malaysia ditemui selepas menyampaikan ceramah bertajuk Kenali Strok sempena Hari Kesihatan Otak anjuran Fakulti Perubatan UKM pada 12 Mei.

Katanya, strok yang menjadi punca kematian ketiga tertinggi di Malaysia turut dianggap sebagai pembunuh senyap kerana serangannya yang boleh berlaku ketika tidur.

Menurut Dr Wan Asyraf, serangan strok juga mirip serangan jantung yang muncul tiba-tiba berikutan ia berpunca daripada sistem saluran darah dalam badan individu.

“Seperti masalah saluran darah yang lain, strok boleh berlaku semasa tidur atau sewaktu baharu bangun tidur. Sama seperti jantung, hanya ia berbeza saluran darah, satu di jantung dan satu di otak,” katanya.

Sambil menyatakan bilangan keseluruhan pesakit strok bertambah saban tahun, beliau juga menjelaskan 80 peratus serangan strok mampu dicegah melalui perubahan gaya hidup sihat.

Katanya, penyakit tersebut berpunca komplikasi pelbagai penyakit kronik antaranya ken-cing manis, darah tinggi dan berat badan berlebihan yang berupaya merosakkan saluran darah.

“Kalau kita kenal pasti awal sebelum strok, kita boleh halang strok daripada berlaku. Kebanyakan pesakit akan kata ia tiba-tiba berlaku. Tetapi sebenarnya dia tidak pernah buat saringan kesihatan lebih awal,” katanya.

Fakta Angin Ahmar atau Stroke. GRAFIK FARAH AZILA MUSTAPHA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.