Pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih ditemui selamat

6 Jun 2026, 10:08 AM
Pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih ditemui selamat
Pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih ditemui selamat

SHAH ALAM, 6 JUN: Pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika mendaki di Gunung Batu Putih, Ipoh, Perak sejak 22 Mei lalu akhirnya ditemui selamat petang ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata Jaslinda Saludin, 49, ditemui berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira jam 3 petang.

Menurut beliau, mangsa ditemui oleh seorang penduduk, Nazri Bah Eng, sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada ahli keluarga mangsa yang kemudiannya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Ketika ini, mangsa berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak berkuasa dan pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penemuan mangsa mengakhiri operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ke-15 dengan melibatkan pelbagai agensi keselamatan, komuniti Orang Asli, sukarelawan dan orang awam.

Sementara itu, Sayani merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha pencarian mangsa.

“Terima kasih atas segala doa, sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang operasi ini berlangsung,” katanya.

Jaslinda merupakan sebahagian daripada kumpulan 14 pendaki yang menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman pada 23 Mei lalu.

Selepas mengalami masalah kesihatan bersama seorang lagi peserta, beliau dipercayai berpisah daripada kumpulan sebelum meneruskan pendakian ke Gunung Batu Putih secara bersendirian.

Eksekutif rantaian bekalan itu kali terakhir dilihat pada 24 Mei sebelum dilaporkan hilang, sekali gus mencetuskan SAR selama 15 hari.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.