KUALA LUMPUR, 5 JUN: Semua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang melaksanakan misi pengaman di selatan Lubnan dilaporkan selamat dan tidak terjejas susulan insiden bedilan mortar di kawasan UNP 7-2, Batalion Sepanyol (SPANBATT) di Sektor Timur, Rabu lepas.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden yang berlaku pada 11.20 malam waktu tempatan itu mengakibatkan tiga anggota pasukan pengaman SPANBATT cedera, manakala seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia pagi semalam.
“ATM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga perwira SPANBATT yang gugur dan mendoakan kesembuhan segera buat anggota yang tercedera,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, ATM turut menegaskan bahawa sebarang bentuk serangan terhadap pasukan pengaman termasuk tembakan tidak langsung, merupakan satu pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
“Sebagai tindak balas taktikal terhadap perkembangan ini, profil keselamatan dan perlindungan pangkalan bagi kontinjen MALBATT 850-13 telah ditingkatkan serta-merta ke tahap amaran tertinggi.
“Seluruh pergerakan rondaan telah digantung sementara waktu. Pasukan kini beroperasi di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Peraturan Tindakan Operasi (ROE) pertahanan yang paling ketat seperti yang digariskan oleh Markas UNIFIL,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, ATM melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB) memantau situasi operasi secara berterusan bagi menjamin tahap keselamatan tertinggi untuk semua anggota MALBATT yang sedang melaksanakan mandat pengaman di zon konflik berkenaan.








