Laluan Gunung Batu Putih ditutup, SOP pendakian dikaji semula

4 Jun 2026, 7:55 AM
Laluan Gunung Batu Putih ditutup, SOP pendakian dikaji semula
Laluan Gunung Batu Putih ditutup, SOP pendakian dikaji semula

SHAH ALAM, 4 JUN: Aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah ditutup serta-merta susulan insiden kehilangan pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, sejak 23 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak Datuk Mohd Basri Abdul Manaf berkata penutupan itu bertujuan memberi keutamaan kepada aspek keselamatan selain membolehkan penilaian semula dilakukan terhadap laluan pendakian di kawasan berkenaan, lapor MalaysiaGazette.

“Kita perlu meneliti semula tahap keselamatan laluan kerana kawasan itu sering digunakan pendaki. Beberapa penambahbaikan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum ia dibuka semula.

“Proses itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan. Sepanjang tempoh tersebut, aktiviti pendakian akan digantung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2026 yang disempurnakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Mohd Basri berkata pihaknya turut akan mengkaji semula tatacara operasi piawai (SOP) pendakian gunung di negeri itu bagi memperkukuh aspek keselamatan pengunjung.

“Kita akan meneliti semua aspek berkaitan SOP pendakian termasuk had kapasiti pengunjung dan pelaksanaan waktu tutup kemasukan (cut-off time entry) yang sedia ada.

“Langkah ini penting bagi memastikan pengurusan aktiviti pendakian lebih selamat dan teratur pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim memaklumkan kerajaan negeri sedang mempertimbangkan penambahbaikan SOP aktiviti pendakian dan kemasukan ke kawasan hutan bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.