KUALA LUMPUR, 4 JUN: Seorang penjaga rumah kebajikan kanak-kanak dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas sembilan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki, hujung tahun lepas.
Hakim Ho Kwong Chin menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Retna Velu, 25, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan semula dalam Bahasa Tamil pada prosiding hari ini.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 3 April lepas.
Mengikut sembilan pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan itu terhadap lima kanak-kanak lelaki berumur antara lapan hingga 13 tahun di pusat jagaan kanak-kanak sebuah pertubuhan di Batu Caves, antara November 2025 dan 27 Mac 2026.
Bagi kesalahan melakukan amang seksual fizikal, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kesalahan melakukan amang seksual bukan fizikal pula mengikut Seksyen 15 (a)(i) dan Seksyen 15 (a)(ii) akta sama, yang berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis selepas menemu bual beberapa kanak-kanak di bawah jagaan rumah itu yang mendedahkan mereka didera secara seksual oleh tertuduh.
Kebanyakan kesalahan dilakukan selepas tertuduh mengejutkan mangsa daripada tidur pada waktu malam dan melakukan perbuatan itu di pelbagai bahagian rumah kebajikan termasuk bilik tidur, tandas dan dapur.
Selain itu, tertuduh juga mengugut agar kesemua mangsa merahsiakan kejadian tersebut dan tidak menceritakannya kepada sesiapa.
Terdahulu semasa prosiding, Retna yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan, namun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin meminta supaya hukuman bagi semua pertuduhan dijalankan secara berasingan kerana ia membabitkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
"Kesalahan seksual dilakukan amat serius kerana menjejaskan maruah serta keselamatan mangsa. Kes ini melibatkan lima mangsa yang semuanya kanak-kanak, malah kesan jenayah dilakukan akan berlarutan sepanjang hayat mereka,” katanya.
Pada 21 Mei lepas, Retna dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual serta persetubuhan luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki.
-- BERNAMA








