SHAH ALAM, 1 JUN: Tiga jejambat baharu bakal dibina di Jalan Subang melibatkan Persimpangan Monfort, Persimpangan Kerjaya-Persiaran Sukan dan kawasan hadapan kilang Central Sugars Refinery (CSR) bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Shah Alam.
Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof berkata projek berkenaan kini memasuki peringkat penyediaan dokumen tender selepas reka bentuk dan pelan pembinaan disiapkan.
"Saya ajukan (isu ini) di Kamar Khas Parlimen dua tahun lepas dan ada menteri memang jawab naik taraf persimpangan tersebut iaitu Persimpangan Monfort. Kemudian, Persimpangan Kerjaya dengan Persiaran Sukan yang nak ke Brunsfield dan satu lagi di depan CSR.
"Tapi perkara itu dua tahun lepas dan saya terus follow up ikuti perkembangan yang kedua pada sidang pertama tahun ini dan kali ini Menteri Kerja Raya sendiri yang jawab. Maksudnya, ia dalam proses pelaksanaan.
"Alhamdulillah, minggu lepas saya mendapat taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor tentang perkembangan terkini. Kali ini memang dah tunjukkan pelan dan reka bentuk semua dah siap. Perunding telahpun dilantik untuk menyediakan dokumen tender," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berharap penyediaan dokumen tender dapat diselesaikan segera supaya proses pembinaan jejambat dapat dimulakan tanpa sebarang kelewatan.
Menurut Azli, pembinaan jejambat itu dijangka membantu melancarkan aliran trafik terutama di kawasan yang kini berdepan kesesakan akibat kewujudan beberapa lampu isyarat berdekatan.
"Dengan adanya jejambat ini dapat kurangkan kesesakan sebab sekarang ini apabila ada tiga lampu isyarat yang berdekatan, ia tersekat. Bila bawah tiada lampu isyarat, akan lancar nak ke Lebuhraya Persekutuan dan kawasan industri.
"Di jejambat Lebuhraya Persekutuan juga akan direka semula, naik taraf daripada lampu isyarat empat fasa kepada tiga fasa," ujarnya.








