Pusat Khidmat Parlimen Shah Alam kekal turun padang, tidak laksana BDR

5 Apr 2026, 10:39 AM
Pusat Khidmat Parlimen Shah Alam kekal turun padang, tidak laksana BDR

SHAH ALAM, 5 APRIL: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Shah Alam tidak melaksanakan bekerja dari rumah (BDR), sebaliknya kekal turun padang bagi memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat.

Ahli Parlimennya, Azli Yusof berkata pendekatan itu penting terutama dalam situasi semasa apabila lebih ramai dijangka terkesan susulan ketidaktentuan ekonomi global.

"Macam kita, kita tak ramai. Jadi kalau tak perlu, saya rasa tidak perlu untuk BDR. Lagipun kami memang keluar untuk berjumpa dengan mereka yang memerlukan.

"Terutama dalam keadaan sekarang ini, mungkin akan lebih ramai yang terkesan. Jadi kami memang akan turun padang berikan bantuan barangan keperluan asas," katanya kepada Media Selangor.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof ditemui media ketika Majlis Jamuan Rakyat sempena Aidilfitri Parlimen Shah Alam di Dewan Teratai MBSA Shah Alam pada 5 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata, walaupun Malaysia tidak terlibat secara langsung dalam konflik Asia Barat, kesan global seperti kenaikan harga minyak tetap dirasai dan memerlukan rakyat bersedia lebih awal.

"Kita kena bermula daripada sekarang, kita kena berhematlah sebab kita tak tahu berapa lama perang ni akan berlaku.

"Jadi lepas ni kita kena pandai-pandai uruskan perbelanjaan masing-masing, supaya kalau kesannya itu berpanjangan, kita dah bersedia lebih awal," ujarnya.

Dalam pada itu, Azli memaklumkan Majlis Jamuan Rakyat sempena Aidilfitri Parlimen Shah Alam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang dianjurkan hari ini merupakan kerjasama kedua-dua pusat khidmat sebagai langkah penjimatan.

Menurutnya, pendekatan menggabungkan penganjuran program itu bukan sahaja mengurangkan kos, malah memberi peluang kepada lebih ramai rakyat hadir dalam suasana sederhana tetapi meriah.

Sebahagian pengunjung yang hadir ke Majlis Jamuan Rakyat sempena Aidilfitri Parlimen Shah Alam di Dewan Teratai MBSA Shah Alam pada 5 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

"Kita buat sekali, maknanya kita panggil orang yang sama. Itu juga sebahagian daripada cara penjimatan kos perbelanjaan.

"Kita lakukan juga sebab masa inilah kita dapat berjumpa dengan rakyat yang tak sempat jumpa dalam bulan Ramadan, kita jemput untuk sama-sama datang. Dan kita buat dalam keadaan yang sederhanalah. Sederhana tapi cukup meriah," tambahnya.

Beliau berkata majlis berkenaan menyasarkan kehadiran sekitar 5,000 hingga 6,000 pengunjung.

Namun katanya, jumlah sebenar dijangka melebihi sasaran berdasarkan sambutan awal yang menggalakkan.

"Kita sasaran dalam lima ke enam ribu orang. Mungkin lebih, dan setakat ini sambutan dilihat melebihi jangkaan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.