TAPAH, 30 MEI: Pasukan penyelamat mengambil cip kamera pengawasan di sekitar lokasi laluan pendakian Gunung Batu Putih di sini bagi memantau sekiranya pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang hilang sejak seminggu lepas ada dikesan melintasi kawasan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata tugasan oleh Pasukan Pelindung daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu digerakkan bersama 16 anggota penyelamat.
Beliau berkata mereka dihantar masuk pagi ini ke lokasi pencarian menggunakan pesawat AW139 ke puncak gunung dan winching point terbaharu di Kem Kantoi.
"Pasukan Pelindung (Perhilitan) bersama pasukan penyelamat akan pergi mengambil cip kamera pengawasan di sekitar lokasi laluan bagi memantau sekiranya mangsa dapat dikesan melalui laluan kamera pengawasan tersebut.
“Jumlah keseluruhan anggota penyelamat yang masuk dan berada di lokasi pencarian adalah 50 orang pada pagi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Persatuan Malim Gunung Negeri Perak menerusi satu hantaran di laman Facebook memaklumkan operasi mengesan mangsa turut mendapat sokongan serta bantuan komuniti malim gunung dari luar negeri yang hadir bagi memperkuatkan misi pencarian.
“Mohon doa anda semua moga Jaslinda dapat ditemukan secepat mungkin. Pencarian OH (orang hilang) kali ini amat mencabar kerana radius pencarian berkisar di sekitar 3,000 ke 7,000 kaki ketinggian dan sangat luas, setakat ini semua pihak mencuba yang terbaik,” menurut hantaran itu.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada, 24 Mei (7.30 pagi).







