Korban Perdana Madani himpun lebih 1,000 penduduk dari 28 kampung di Gombak

30 Mei 2026, 6:30 AM
Korban Perdana Madani himpun lebih 1,000 penduduk dari 28 kampung di Gombak

GOMBAK, 30 MEI: Lebih 1,000 penduduk daripada 28 kampung berhimpun bagi menjayakan Program Korban Perdana Madani Parlimen Gombak yang bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, malah mengukuhkan hubungan silaturahim komuniti kampung dalam bandar.

Ketua Kampung Laksamana, Roszaidi Ishak berkata program julung kali dianjurkan secara besar-besaran itu membabitkan penduduk dari tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang.

Menurutnya, sebanyak 28 ekor lembu dikorbankan dalam program yang berlangsung di Gua Damai dengan setiap kampung menerima seekor lembu untuk pelaksanaan ibadah korban.

“Kali ini setiap kampung dapat seekor lembu. Antara kampung terlibat ialah Kampung Wira Damai, Kampung Melayu Batu Caves, Kampung Sungai Kertas, Kampung Sungai Tua dan Selayang Baru.

“Bagi DUN Gombak Setia terdapat 12 kampung, Hulu Kelang lima kampung dan Sungai Tua 11 kampung. Memang meriah,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata sambutan diterima di luar jangkaan apabila ramai penduduk hadir bergotong-royong walaupun sebahagian kampung terletak agak jauh antara satu sama lain.

Dato Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mentertai program Korban Perdana dan Rewang Rakyat Bersama Komuniti Gombak di Padang Kampung Wira Damai pada 30 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Roszaidi, beberapa ekor lembu disembelih sendiri oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Katanya, objektif utama penganjuran bukan sekadar melaksanakan ibadah korban, sebaliknya menjadi platform menyatukan komuniti kampung yang berada dalam kawasan bandar yang pesat membangun.

“Ada kampung yang jaraknya agak jauh, jadi program seperti ini memberi peluang kepada penduduk untuk bertemu, bertegur sapa dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana Aidiladha.

“Semangat gotong-royong yang ditunjukkan hari ini membuktikan muafakat dan kebersamaan masih kukuh dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Suasana ketika program Korban Perdana dan Rewang Rakyat Bersama Komuniti Gombak di Padang Kampung Wira Damai pada 30 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan lebih ramai penduduk dan pelbagai lapisan masyarakat bagi memperkukuh perpaduan komuniti di Parlimen Gombak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.