Pendaki hilang: Tulisan di tanah bukti Jaslinda telah sampai puncak gunung

29 Mei 2026, 1:54 PM
Pendaki hilang: Tulisan di tanah bukti Jaslinda telah sampai puncak gunung
Pendaki hilang: Tulisan di tanah bukti Jaslinda telah sampai puncak gunung

IPOH, 29 MEI: Satu nota tulisan di atas tanah ditinggalkan menjadi bukti bahawa pendaki wanita yang hilang Jaslinda Saludin, 49, telah sampai di puncak Gunung Batu Putih dekat Tapah, di sini.

Malim Gunung Perhutanan (MGP) Perak yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz berkata beliau yang bertindak sebagai pengawal belakang atau sweeper bagi ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman itu, menyedari kewujudan nota di atas tanah berkenaan ketika tiba di puncak gunung.

“Betul, dia (Jaslinda) dah sampai ke puncak gunung, cuma dia tak ada bagi hint dia ke mana, ke track mana. Dia cuma maklum dia kata dia dah sampai puncak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hafiz menjelaskan bahawa tulisan tertera “HAFIZ AMBIK GAMBAR AKAK DH SAMPAI” itu ditinggalkan mangsa berikutan telefon bimbit milik Jaslinda telah kehabisan bateri sejak pada peringkat awal pendakian lagi.

“Kemungkinan dia (Jaslinda) sampai (puncak Gunung Batu Putih) 10 pagi (pada 24 Mei lepas), saya sampai kira-kira 10.45 pagi, saya sedar benda itu (ukiran tulisan tersebut) sekitar 11 pagi. Jadi, dia nak maklumkan dia dah sampai puncak itu kepada saya,” katanya.

Hafiz berkata dia kemudian mengambil gambar tersebut dengan telefon bimbitnya.

Terdahulu, pesawat udara kawalan jauh tanpa juruterbang atau dron digunakan hari ini, bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda yang hilang selepas mendaki Gunung Batu Putih, sejak 23 Mei.

Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon memaklumkan SAR akan memberi tumpuan sekitar jajaran Sungai Ayer Busok, dipercayai menjadi laluan mangsa untuk mendapatkan sumber air.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada, 24 Mei (7.30 pagi).

-- BERNAMA

TAG: MGP, bukti, ukiran, tulisan, Gunung Batu Putih, hilang, wanita

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.