SHAH ALAM, 29 MEI: Wartawan disifatkan sebagai benteng utama dalam menangani penyebaran fitnah dan maklumat palsu yang semakin mudah tersebar dalam era digital masa kini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata peranan pengamal media kini bukan sekadar melaporkan peristiwa malah menjadi antara suara penting dalam mempertahankan integriti maklumat serta menegakkan kebenaran.
Menurutnya, ketika persepsi sering mengatasi realiti dan spekulasi mudah tercetus, wartawan berada di barisan hadapan bagi memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat dan sahih.
“Setiap berita yang disampaikan memerlukan penelitian, pengesahan dan rasa tanggungjawab yang tinggi kerana kepercayaan masyarakat bukan sesuatu yang boleh diperoleh dengan mudah tetapi lahir daripada kejujuran, ketelusan dan kesungguhan yang konsisten.
“Apabila integriti dan kebenaran dijadikan keutamaan, wartawan akan terus menjadi benteng maklumat sahih kerana kewartawanan bukan sekadar menyampaikan berita tetapi memelihara amanah dan kepercayaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan dan jasa pengamal media serta wartawan veteran dalam pembangunan negara dan bangsa.
Menurut Fahmi, wartawan akan terus menjadi benteng maklumat yang dipercayai sekiranya integriti, ketelusan dan tanggungjawab sentiasa dijadikan pegangan utama dalam menjalankan tugas kewartawanan.
Beliau berkata dalam era penyebaran maklumat tanpa sempadan ketika ini, pengamal media memikul amanah besar untuk memastikan setiap laporan yang diterbitkan adalah tepat, sahih dan tidak mengelirukan masyarakat.
Terdahulu, Fahmi memaklumkan kerajaan melalui Kementerian Komunikasi sedang merangka pelbagai inisiatif bagi membantu pengamal media di negara ini mendepani cabaran semasa termasuk ancaman teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ketidaktentuan ekonomi.
Katanya, sambutan HAWANA tahun ini disambut dalam suasana kebimbangan dalam kalangan petugas media yang berasa risau terhadap keselamatan pekerjaan serta masa masa depan industri kewartawanan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata kewujudan media bebas dan beretika adalah tunjang utama sistem demokrasi negara kerana ia memastikan ketelusan, akauntabiliti dan penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat.








