Pelaporan bertanggungjawab penting dalam era lambakan maklumat - Anwar

29 Mei 2026, 10:30 AM
Pelaporan bertanggungjawab penting dalam era lambakan maklumat - Anwar

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Dalam era lambakan maklumat dan penyebaran berita tanpa sempadan, pelaporan yang bertanggungjawab amat penting bagi memastikan fakta disampaikan secara tepat, beretika dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) hari ini, beliau berkata peranan media bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi memikul amanah besar untuk menegakkan kebenaran dengan integriti, kredibiliti, keberanian dan rasa tanggungjawab.

“Hari ini kita memperingati Hari Wartawan Nasional, satu penghargaan kepada para wartawan dan pengamal media, yang selama ini menjadi suara rakyat serta antara tiang penting dalam memperkukuh demokrasi negara.

“Moga para wartawan dan pengamal media terus menjadi suara rakyat, pengimbang kuasa dan nurani negara,” kata Perdana Menteri.

Sambutan HAWANA diperkenalkan pada 2018 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan wartawan dalam pembangunan negara, manakala tarikh 29 Mei dipilih sempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 1939.

HAWANA 2026 mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” dan majlis kemuncak sambutan pada 20 Jun ini di Pulau Pinang akan dirasmikan oleh Anwar.

-- BERNAMA

TAG: HAWANA, Anwar Ibrahim, wartawan, pengamal media

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.