SHAH ALAM, 29 MEI: Dato’ Menteri Besar bersama hampir 80 aktivis muda dan sukarelawan bergotong-royong menjayakan Program Korban Perdana Dato’ Menteri Besar di kediaman rasminya di sini, semalam.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan kepada golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan, selain sebahagiannya diserahkan kepada surau serta rumah anak yatim.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja menyemarakkan semangat ibadah korban, malah menjadi platform memperkukuh budaya sukarelawan dan kebersamaan dalam kalangan anak muda.
“Syabas saya ucapkan kepada semua yang hadir dan bergotong-royong menjayakan program ini.
“Semoga semangat kebersamaan, nilai pengorbanan dan budaya khidmat kepada masyarakat yang ditunjukkan hari ini terus subur dalam kalangan generasi muda demi membina masyarakat yang lebih prihatin, penyayang dan bersatu hati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Turut menyertai program itu ialah anak muda daripada Penggerak Belia Selangor (PeBS), Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS) dan mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL).
Hadir sama sukarelawan daripada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Adibakti serta Aktivis Muda Selangor.









