Pegawai polis, isteri maut nahas di Pekan, empat anak cedera

27 Mei 2026, 4:02 AM
Pegawai polis, isteri maut nahas di Pekan, empat anak cedera

KUANTAN, 27 MEI: Seorang pegawai polis dan isterinya maut, manakala empat anak cedera selepas kenderaan mereka terlibat kemalangan di Kilometer 76 Jalan Kuantan-Segamat di Pekan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata Inspektor Syah Lokman Ludza Ramli, 50, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan isteri Nurulfiza Ardiana Ambak, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 3 pagi melibatkan sebuah Proton Wira dipandu mangsa dari Kuantan menghala ke Jempol, Negeri Sembilan dan Honda City dipandu lelaki berusia 26 tahun dari Gelang Patah, Johor menuju ke Terengganu.

“Ketika di lokasi kejadian, Proton Wira dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Honda City,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata empat anak Syah Lokman dan Nurulfiza Ardiana berusia 10 hingga 18 tahun cedera termasuk seorang patah kaki kiri dengan mereka menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah, Rompin.

Pemandu Honda City juga mengalami kecederaan ringan dan isterinya berusia 26 tahun yang hamil 22 minggu turut menerima rawatan di zon kecemasan hospital sama.

Mohd Zaidi berkata mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat yang dijadualkan pagi ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.