KLANG, 25 MEI: Penunggang motosikal yang cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan dipercayai dipandu di bawah pengaruh alkhohol serta melawan arus dalam kejadian di Persiaran Kota, di sini pada 13 Mei lepas, disahkan meninggal dunia petang tadi, selepas 13 hari bertarung nyawa.
Ibu mangsa, Hamidah Othman, 51, berkata anaknya Allahyarham Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4.28 petang ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
“Kami sekeluarga dipanggil oleh pihak doktor untuk berkumpul di wad berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi tadi selepas keadaan anak saya dilaporkan semakin merosot.
“Pihak hospital kemudian memaklumkan bahawa keadaan Zulfiqar amat kritikal dan dia hanya bergantung sepenuhnya pada mesin bantuan pernafasan sebelum denyutan nadinya didapati semakin menurun,” katanya kepada media di pekarangan Unit Forensik HTAR.
Sementara itu, bapa mangsa, Amirul Nizam Abdul Aziz, 49, berkata susulan pemergian anaknya, pihak keluarga akan mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap pemandu kenderaan yang didakwa memandu melawan arus, selain telah memfailkan writ saman menerusi peguam yang dilantik bagi tindakan mahkamah selanjutnya.
“Pihak kami juga telah menghubungi pegawai penyiasat polis petang tadi untuk memaklumkan mengenai berita kematian anak saya bagi membolehkan siasatan kes ini dikemas kini mengikut perkembangan terbaharu.
“Kami amat berharap agar peruntukan seksyen atau pertuduhan bagi kejadian ini dapat dinaikkan atau ditukar serta-merta kepada hukuman yang lebih berat memandangkan Zulfiqar kini telah pun meninggal dunia,” katanya.
Mengulas lanjut, Amirul Nizam berkata tindakan tegas perlu diambil memandangkan kemalangan yang meragut nyawa anak sulung daripada empat beradik itu dipercayai berpunca daripada kecuaian seorang pemandu mabuk, sambil menegaskan bahawa individu terbabit perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatannya yang bukan sahaja melanggar undang-undang jalan raya, malah turut memusnahkan masa depan anaknya.
"Kehilangan Zulfiqar amat dirasai oleh kami semua kerana arwah merupakan tunjang utama serta tulang belakang yang banyak membantu keluarga selama ini.
"Selain tidak sempat merealisasikan impiannya untuk membuka perniagaan sendiri, hasrat murni arwah untuk mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini juga terkubur,” katanya.
Jenazah Allahyarham Zulfiqar Zamir dijadualkan dibawa pulang ke kampung halaman untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Hutan Melintang, Perak, malam ini.
Pada 18 Mei lepas, seorang pembantu perancang acara sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang penghantar p-hailing.
Low Kean Peng, 35, didakwa memandu sebuah kenderaan dengan kadar alkohol 196 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.
Jumlah itu melebihi had 146 mg alkohol dalam 100 ml darah sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap Zulfiqar Zamir di Persiaran Kota di sini pada 12.35 tengah malam, 13 Mei.








