Pelaksanaan biodiesel B15 tidak jejas eksport minyak sawit negara

25 Mei 2026, 6:36 AM
Pelaksanaan biodiesel B15 tidak jejas eksport minyak sawit negara

PUTRAJAYA, 25 MEI: Pelaksanaan biodiesel B15 yang akan bermula di seluruh semenanjung pada 1 Jun ini dijangka memperkukuh keselamatan tenaga negara tanpa menjejaskan jumlah eksport minyak sawit negara.

Pada masa yang sama, langkah komprehensif itu turut membantu menyokong industri sawit tempatan dan mempercepat agenda hijau negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pelaksanaan peningkatan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 itu dibuat secara terancang selepas mengambil kira kesiapsiagaan industri, bekalan dan infrastruktur sedia ada.

Beliau berkata kerajaan telah menjalankan analisis terperinci berhubung pelaksanaan itu termasuk dari segi kapasiti bekalan minyak sawit negara untuk memastikan eksport komoditi berkenaan tidak terjejas.

“Kita menghasilkan kira-kira 20 juta tan metrik minyak sawit setahun dan mengeksport sekitar 16 juta tan metrik, ini bermakna terdapat lebihan kira-kira empat juta tan metrik untuk kegunaan domestik.

“Daripada jumlah itu, penggunaan bagi pelaksanaan B15 hanya melibatkan sekitar 0.8 juta tan metrik, jadi ia tidak akan mengganggu jumlah eksport negara,” katanya selepas sesi Taklimat Media Pelaksanaan Biodiesel B15 di sini hari ini.

Noraini berkata pelaksanaan B15 dipilih sebagai kadar adunan terbaik ketika ini selepas sesi libat urus bersama pemain industri yang berpendapat bahawa kadar tersebut boleh dilaksanakan tanpa memerlukan naik taraf besar ke atas fasiliti sedia ada.

“Kita lihat B15 adalah kadar yang sesuai dan boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat tanpa memerlukan perubahan besar kepada kemudahan sedia ada,” tambahnya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.