SHAH ALAM, 22 OKT: Kerajaan memberi jaminan bahawa kos pembinaan Pusat Subfertiliti Negara di Seksyen 17 di sini kekal sebanyak RM171 juta tanpa sebarang peningkatan, meskipun berlaku kenaikan harga bahan binaan di pasaran.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pelaksanaan projek berkenaan juga berjalan mengikut jadual.
“Kos pembinaan pusat ini kekal seperti diluluskan dan tidak terjejas meskipun terdapat kenaikan harga bahan binaan di pasaran,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Executive Talk di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, baru-baru ini.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), indeks harga seunit simen di pasaran meningkat antara 0.1 hingga 1.1 peratus pada Ogos lalu berbanding bulan sebelumnya.
Noraini menjelaskan, projek pembinaan pusat berkenaan kini berada pada fasa pelaksanaan dan dijangka siap serta beroperasi menjelang 2029.
“Kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memang menumpukan kepada pembangunan pusat khusus mengenai kesuburan sebagai salah satu inisiatif menangani kadar kesuburan yang semakin menurun,” ujarnya.
Beliau berkata, selain pembinaan pusat berkenaan, LPPKN turut menyediakan pelbagai subsidi dan kemudahan bagi pasangan yang ingin mendapatkan rawatan, termasuk program penilaian kesuburan serta bantuan bagi kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).
“Program seperti ini bukan sahaja membantu pasangan yang berdepan cabaran mendapatkan anak, tetapi juga menyokong usaha kerajaan memperkukuh institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.