Bekalan lembu, kambing korban di seluruh negara mencukupi - KPKM

25 Mei 2026, 1:56 AM
Bekalan lembu, kambing korban di seluruh negara mencukupi - KPKM

PUTRAJAYA, 25 MEI: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan ternakan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini mencukupi untuk memenuhi permintaan di seluruh negara.

KPKM memaklumkan, berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehingga April 2026, jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban mencecah 51,972 ekor.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 35,127 ekor merupakan stok tempatan manakala 16,845 ekor lagi adalah ternakan import.

“Jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban mencecah 51,972 ekor, sekali gus melebihi anggaran keperluan institusi seperti masjid, surau dan rumah sembelih yang dijangka sebanyak 40,420 ekor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KPKM, bagi bekalan kambing dan bebiri pula, stok tempatan direkodkan sebanyak 25,815 ekor manakala bekalan import sebanyak 4,232 ekor.

"Jumlah keseluruhan bekalan kambing dan bebiri ialah 30,047 ekor, melebihi unjuran permintaan semasa sebanyak 22,424 ekor.

“Melalui unjuran data ini, KPKM memberi jaminan bahawa jumlah keseluruhan bekalan ternakan dalam negara adalah amat mencukupi bagi menampung permintaan sembelihan bagi tujuan korban tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, KPKM memaklumkan sebanyak 27 rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia kini bersedia untuk beroperasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.

Selain itu, katanya, sebanyak 43 rumah sembelih swasta turut diberikan lesen oleh DVS setakat 16 Mac lalu bagi menyediakan perkhidmatan penyembelihan yang sah kepada masyarakat.

KPKM turut mengingatkan penganjur yang ingin menjalankan penyembelihan korban di luar rumah sembelih seperti di masjid, surau, sekolah dan kawasan perumahan supaya mengemukakan permohonan permit penyembelihan luar bersama dokumen berkaitan bagi mendapatkan kelulusan.

"Orang ramai juga disaran merujuk Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan DVS bagi memastikan proses pelaksanaan ibadah korban berjalan lancar serta mematuhi standard yang ditetapkan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.