KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Pelaksanaan inisiatif memperkukuh kapasiti pengeluaran sektor agromakanan menerusi pendekatan pemberian insentif berjaya meningkatkan kadar sara diri (SSR), khususnya bagi subsektor ternakan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata antara inisiatif berkenaan ialah Program Pengganda30 berkonsepkan geran padanan 90:10 yang memperkasakan kapasiti penternak domestik serta Program Pengukuhan Pengeluaran Tenusu Negara.
Beliau berkata pendekatan itu berjaya memastikan kedudukan bekalan makanan negara sentiasa stabil dan mampan, sekali gus membuktikan tiada gangguan terhadap keterjaminan makanan negara.

“Data awalan terkini SSR daging lembu dan kerbau pada 2025 sebanyak 18.4 peratus telah menunjukkan peningkatan berbanding SSR pada 2024 sebanyak 16.8 peratus dan 15.9 peratus pada 2023.
“Bagi pengeluaran susu, data awalan pada 2025 merekodkan 66.0 juta liter dengan peningkatan SSR daripada 66.7 peratus pada 2024 kepada 81.8 peratus pada 2025,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai keberkesanan insentif yang disalurkan kepada negeri-negeri pengeluar pertanian dalam melonjakkan kadar SSR domestik susulan lonjakan berterusan kos input pertanian global berikutan krisis di Asia Barat.
Chan berkata kerajaan turut menyusun semula Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) 2026 dengan memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi berbanding projek sampingan.
Menurut Chan, setakat 30 Jun lepas, sebanyak 20 projek berimpak tinggi bernilai RM17.381 juta telah diluluskan, khusus di Terengganu di bawah PPAN yang meliputi projek subsektor tanaman, ternakan dan perikanan.
Beliau ketika mengulas mengenai pelan kontingensi komprehensif kerajaan dalam mendepani unjuran krisis bekalan makanan berkata sebanyak 13.61 juta isi rumah telah menerima manfaat daripada Program Jualan Agro MADANI (JAM) yang menghubungkan pengeluar pertanian kepada pengguna.
“Sebanyak 1,833 Program JAM dilaksanakan dengan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM46.72 juta dan anggaran penjimatan kepada pengguna adalah sebanyak RM14.02 juta,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain berhubung masalah bekalan air di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda Kedah yang menjejaskan penanaman padi, Chan berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan projek pembinaan empangan dan meneruskan saluran air di kawasan terlibat.
Beliau berkata KPKM juga akan melihat kaedah untuk mengeluarkan hasil padi lebih tinggi berikutan pengecilan saiz jelapang padi di Kedah disebabkan isu persaingan tanah antara pertanian dan perumahan.







