Kos majlis pembukaan, penutup SUKMA 2026 dikurangkan hampir 80 peratus

23 Mei 2026, 10:24 AM
Kos majlis pembukaan, penutup SUKMA 2026 dikurangkan hampir 80 peratus

SHAH ALAM, 23 MEI: Kerajaan Negeri mengurangkan hampir 80 peratus kos penganjuran acara perasmian dan penutup Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 daripada RM10 juta kepada kurang RM2 juta, selaras langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata pengurangan kira-kira RM8 juta itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan kemeriahan majlis walaupun ia dianjurkan secara lebih sederhana.

Menurutnya, lokasi bagi acara perasmian dan penutupan SUKMA 2026 dijangka diumumkan dalam tempoh sebulan lagi selepas proses pemilihan serta penyelarasan semua aspek dimuktamadkan jawatankuasa berkaitan.

“Sebelum ini kita pilih Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai acara pembukaan. Sekarang tengah teliti sama ada di majlis dianjur di kawasan terbuka atau tertutup. Bagaimanapun lokasi penganjuran acara tetap kekal seperti diputuskan sebelum ini.

“Majlis perasmian tidak melibatkan pertunjukan bunga api. Namun kita mungkin tampilkan artis tempatan membuat persembahan sebagai simbolik dan dibuat secara sederhana,” katanya ditemui di Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2025 hari ini.

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi bercakap kepada Media Selangor selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Pasar Tani Taman Melawati, Ampang Jaya pada 23 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Minggu lalu, beliau memaklumkan hampir separuh pengurangan peruntukan asal SUKMA tertumpu kepada kos logistik serta elaun dan tidak melibatkan pembangunan atlet.

Pada 26 April, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memberi perkenan SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah dan berjimat cermat.

Ia selepas Baginda mencadangkan supaya suka dwi-tahunan itu ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya memandangkan peruntukan tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 469 acara dipertandingkan daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan manakala PARA SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dan 316 acara di daerah Petaling serta Klang.

Selangor meletakkan sasaran 54 pingat emas pada temasya SUKMA 2026.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.