SHAH ALAM, 23 MEI: Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning 2 akan direalisasikan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning, S. Preakas berkata pihaknya dimaklumkan tender surat setuju terima (SST) akan dikeluarkan pada awal 2027 dan proses pembinaan dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun dari tarikh SST diterima.
“Saya telah melawat tapak cadangan sekolah berkenaan bagi meninjau perkembangan semasa projek selain menyelaras tindakan susulan bersama agensi berkaitan.
"Saya percaya ada beberapa teknikal proses yang perlu dilalui seperti pemindahan tanah daripada Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat dan seterusnya ujian tanah, dan selepas itu mereka akan membina sekolah ini,” katanya kepada Media Selangor.

RMK13 bermula pada 2026 sehingga 2030. Pelan pembangunan lima tahun negara itu telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 31 Julai 2025.
Mengulas lanjut, Preakas berkata komitmen antara pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan fasiliti pendidikan ini dapat direalisasikan demi manfaat penduduk DUN Kota Kemuning.
"Kami akan terus memantau proses ini dari semasa ke semasa. Saya harapkan sangat sekolah baru ini dapat dibina secepat mungkin," katanya.
Terdahulu pada 21 Mei, Preakas bersama wakil pelbagai agensi antaranya JKR Negeri Selangor, JKR Klang, JPN Selangor, polis serta wakil penduduk mengadakan lawatan teknikal ke tapak projek SMK Kota Kemuning 2.








