ad

Dewan Rakyat ditangguh, banyak RUU diluluskan

28 Ogos 2025, 12:23 PM
Dewan Rakyat ditangguh, banyak RUU diluluskan

SHAH ALAM, 28 OGOS: Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 yang berlangsung selama 24 hari sejak 21 Julai lalu, ditangguhkan hari ini selepas menyaksikan kelulusan beberapa rang undang-undang (RUU) dan usul penting yang menjadi perhatian rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, ketika menangguhkan sidang berkata, antara yang diluluskan termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Laporan Ketua Audit Negara Siri 2/2025, Laporan SUHAKAM 2023, serta 19 RUU dan lima usul kementerian.

“Mesyuarat kedua ini menyaksikan banyak perkara penting diluluskan termasuk RUU Pekerja Gig 2025 yang memberi perlindungan kepada lebih 1.2 juta pekerja gig, dan pindaan peraturan mesyuarat bagi memperkukuh akauntabiliti kerajaan kepada Dewan Rakyat,” katanya.

Turut disentuh ialah pindaan yang menyaksikan jawatankuasa pilihan khas dinaik taraf menjadi Jawatankuasa Pilihan Berkaitan Kementerian, sekali gus memperkukuh peranan Parlimen dalam semak imbang.

Selain itu, sidang kali ini turut mendengar tiga penerangan menteri serta empat laporan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan, selain perbahasan hangat mengenai isu kos sara hidup, kebajikan rakyat, dan ketelusan tadbir urus kerajaan.

Johari turut mengingatkan semua Ahli Parlimen agar menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum 7 November ini, selain merakamkan penghargaan kepada semua wakil rakyat, pegawai kerajaan, petugas Parlimen, media dan semua pihak yang memastikan kelancaran persidangan.

“Saya dan timbalan-timbalan speaker mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat. Dengan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan ke-68 dan Selamat Hari Malaysia ke-62,” katanya sebelum menangguhkan mesyuarat ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.