SHAH ALAM, 24 MEI: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor belum merekodkan sebarang kes atau tangkapan membabitkan penggunaan dadah ‘zombi’ seperti fentanyl setakat ini.
Bagaimanapun, Pengarahnya Nazir Mohamad berkata trend penggunaan bahan sintetik baharu dalam kalangan remaja terus membimbangkan kerana kandungannya sukar dikenal pasti.

“Setakat ini kita di Selangor memang belum jumpa lagi individu atau tangkapan berkaitan bahan yang disebut sebagai dadah zombi itu.
“Namun kita ada dengar mengenai rampasan dibuat di negeri lain dan perkara itu memang membimbangkan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Menurutnya, bahan terkandung dalam vape dipercayai mungkin terdiri daripada bahan psikoaktif baharu yang masih belum dikenal pasti sepenuhnya.
“Tapi kita tahu kesannya sangat signifikan kepada pengguna sehingga mereka boleh menjadi seperti zombi,” katanya.
Nazir berkata fentanyl dikategorikan sebagai bahan psikoaktif baharu (NPS) dan kesan jangka panjangnya terhadap pengguna juga masih belum diketahui secara menyeluruh.
“Itu yang menjadi kebimbangan kerana kita masih kurang maklumat mengenai bahan tersebut,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau berkata AADK Selangor terus mempergiat kempen pencegahan dan pendidikan di sekolah bagi membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar serta golongan muda.
Katanya, keputusan saringan air kencing di sekolah menunjukkan jumlah pelajar positif dadah kini semakin rendah berbanding sebelum ini.
“Kalau kita buat ujian saringan sekarang, memang sukar untuk dapat pelajar positif dadah.
“Namun kita tidak pasti sama ada kempen yang dijalankan berjaya ataupun mereka sudah beralih kepada dadah baharu yang lebih sukar dikesan,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya berani menolak pengaruh rakan dan lebih peka terhadap bahaya penyalahgunaan dadah yang kini semakin mudah diperoleh.
Sebelum ini, media melaporkan kewujudan dadah ‘zombi’ fentanyl di negara ini yang dipercayai 100 kali lebih kuat daripada morfin susulan analisis sampel air kumbahan di Lembah Subang yang dijalankan baru-baru ini.










