PUTRAJAYA, 20 JULAI: Klang merekodkan bilangan tangkapan penagih dan penyalahgunaan dadah tertinggi di Selangor dengan 429 individu setakat Jun tahun ini, kata Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Nazir Mohamad.
Beliau berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu apabila Hulu Langat mencatat tangkapan tertinggi dengan 295 penagih, diikuti Klang 209 tangkapan.
Menurutnya, peningkatan tangkapan di Klang dipengaruhi pelaksanaan operasi bersepadu yang giat dijalankan AADK Selangor sepanjang tahun ini.
“Antara faktor kenapa Klang mempunyai tangkapan paling tinggi tahun ini kerana kita giat melaksanakan operasi bersepadu di Klang. Pada tahun ini sahaja lebih 10 operasi sudah kita laksanakan.
“Klang juga memiliki banyak kawasan berisiko tinggi. Selain itu, tahniah juga kepada komuniti Klang kerana mereka semakin cakna dan kita ada terima aduan daripada masyarakat setempat,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau ditemui pada Majlis Penghargaan Media dan Jalinan Strategik AADK Selangor 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini, yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah.
Pada majlis itu, AADK turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pengamal media sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka sebagai rakan strategik.
Dalam pada itu, Nazir berkata AADK Selangor giat melaksanakan Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) bagi memperkasa peranan komuniti akar umbi dalam membanteras penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, sembilan lokasi telah dipilih di setiap daerah, dengan acara kemuncak dijadual berlangsung di Hulu Selangor pada Ogos depan.
“Tahun ini kita menggerakkan kempen JABD, di mana kita fokus pada kampung yang bebas dadah dan kita jadikan kampung tersebut sebagai aspirasi kepada kampung lain bagi membendung penagihan dadah di lokaliti masing-masing,” katanya.







