Aidiladha: Trafik lebuh raya dijangka cecah 3.3 juta kenderaan sehari - LLM

22 Mei 2026, 10:33 AM
Aidiladha: Trafik lebuh raya dijangka cecah 3.3 juta kenderaan sehari - LLM

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah purata trafik harian di lebuh raya utama dan lebuh raya sambungan mencecah 3.3 juta kenderaan pada hari puncak sempena Aidiladha yang akan disambut pada 27 Mei ini.

LLM dalam kenyataan memaklumkan peningkatan aliran trafik dijangka berlaku secara berperingkat bermula hari ini hingga 7 Jun susulan pertembungan musim perayaan dengan cuti umum dan cuti persekolahan yang panjang.

Daripada jumlah keseluruhan itu, Lebuh Raya Kumpulan PLUS diunjurkan merekodkan trafik tertinggi, iaitu 2.2 juta kenderaan, diikuti Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) sebanyak 283,000 kenderaan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) sebanyak 209,000 kenderaan.

Bagi memastikan kelancaran perjalanan sepanjang tempoh berkenaan, LLM mengarahkan syarikat konsesi melaksanakan beberapa langkah seperti tiada penutupan lorong kecuali kerja kecemasan bermula 23 Mei hingga 2 Jun, pengaktifan 34 lokasi laluan Smart Lane dan memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik termasuk pelaksanaan kutipan berlapis di plaza tol kritikal.

Turut dilaksanakan ialah pemeriksaan operasi lebuh raya serta kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah, penyediaan 65 tandas mudah alih serta penambahan parkir dan petugas termasuk anggota RELA di kawasan terlibat.

LLM turut menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan menggunakan aplikasi TuJu dan Travel Time Advisory (TTA), memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memastikan baki Touch ’n Go, e-dompet dan kad debit mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Selain itu, penunggang motosikal diingatkan supaya lebih berhati-hati dan menggunakan 571 tempat berteduh yang disediakan sekiranya berdepan cuaca buruk.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik semasa dan insiden melalui saluran rasmi LLM serta aplikasi berkaitan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.