Kesibukan rutin harian di bandar mendorong ramai mencari lokasi santai berkonsep alam semula jadi untuk merehatkan minda.
Meski terkenal sebagai negeri maju, Selangor banyak menyimpan khazanah alam meliputi sungai, air terjun, hutan simpan, bukit batu kapur dan paya bakau yang masih terpelihara.
Keunikan itu menjadikan negeri ini antara pilihan utama pelancong tempatan dan luar negara untuk ekopelancongan. Ia ditambah akses perjalanan baik selain jarak ke lokasi yang tidak terlalu jauh dari Kuala Lumpur sekali gus menjadi faktor utama destinasi ini mendapat sambutan.
Wartawan Nadiah Zamlus menyenaraikan lima lokasi yang boleh membawa anda kabur daripada hiruk-pikuk kota sambil ditemani keindahan alam sekitar.

Santuari Ikan Sungai Chiling, Kuala Kubu Baharu
Bukan sekadar mandi sungai, tetapi lokasi terletak kira-kira 13 kilometer (km) dari Kuala Kubu Baharu atau sekitar 70 km dari Kuala Lumpur menawarkan pengalaman meredah air sungai yang cukup mencabar.
Pengunjung perlu menyeberang enam anak sungai pada kedalaman paras paha hingga pinggang orang dewasa sebelum sampai ke tapak air terjun setinggi tiga meter. Keseronokannya bukan saja air terjun tetapi pengunjung juga boleh 'bermain' dengan ikan kelah yang banyak di Sungai Chiling.
Justeru, ia kerap menjadi pilihan pelancong luar negara. Diuruskan Jabatan Perikanan Negeri Selangor, ia dibuka setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai jam 8 pagi hingga 6 petang

Kebun Atok, Sungai Semungkis, Hulu Langat
Terletak 30 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur, tempat ini sesuai untuk keluarga beriadah sambil melepaskan lelah. Di situ ada kafe dan sungai kecil yang sesuai untuk kanak-kanak bermandi-manda.
Lebih menarik, pemiliknya menawarkan khemah dan kerusi sewaan jika mahu bersantai lebih lama. Pengunjung juga boleh memesan kopi mesin sejuk mahupun panas, menu makan tengah hari dari kafe

Taman Ekstrem Gua Damai, Gombak
Tempat ini menjadi pilihan pengunjung yang gemar rekreasi dan aksi lasak pada hujung minggu atau musim cuti sekolah. Aksi popular ialah panjat tebing batu kapur, menuruni curam (abseiling), luncur keluang (zip line) dan meneroka gua.
Bagi peminat sukan ekstrem, kawasan itu juga dikenali sebagai salah satu lokasi tapak lompatan. Ia pernah diiktiraf sebagai sebahagian Geopark Kebangsaan ketujuh

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong
Tarikan utamanya adalah Forest Skywalk atau dikenali sebagai Jejantas Rimba yang terdiri daripada beberapa pelantar dengan ketinggian antara 18 hingga 50 meter (m) dan panjang keseluruhan 250 m.
Menawarkan pemandangan indah hutan matang (arah utara) dan pemandangan sekitar Taman Botani Kepong (arah selatan). Jika tidak mahu menaiki jejantas, anda boleh berjalan merentas hutan FRIM dipenuhi pokok berusia ratusan tahun. Selesai bersantai, boleh singgah di Mimpi Hutan Cafe untuk menikmati secangkir kopi panas

Sungai Sepang Besar, Sepang
Menyaksikan hutan paya bakau yang menghijau sambil menyusuri sungai di sini pastinya memberi pengalaman berbeza. Bagan Lalang bukan sahaja terkenal dengan pantai yang damai, malah menyimpan khazanah semula jadi yang jarang diteroka secara dekat iaitu hutan paya bakau yang luas dan terpelihara.
Salah satu cara paling menarik untuk meneroka ekosistem unik ini dengan berkayak menyusuri lorong sempit yang terbentuk di celahan pokok bakau. Untuk mereka yang ingin lari dari kesibukan kota dan mencari pengalaman dekat dengan alam, berkayak di hutan paya bakau pilihan terbaik







