SHAH ALAM, 21 MEI: Fasa satu Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diumumkan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bulan lalu akan dilaksanakan bermula 15 Jun ini.
Ia meliputi Jualan Ehsan Rahmah, Baucar KitaSelangor, Subsidi Tambang Pengangkutan Awam Bantuan Sokongan Sektor Pertanian, Pemerkasaan Usahawan Koperasi Selangor dan Gudang Makanan Selangor.
Setiausaha Kerajaan Negeri berkata Selangor terus memantau perkembangan semasa dan memastikan setiap langkah memberi manfaat langsung kepada rakyat serta memperkukuh daya tahan ekonomi negeri.
Dalam kenyataan hari ini, Dato' Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin turut menyatakan Kerajaan Negeri menjangka ketidaktentuan global semasa akan terus berlanjutan sehingga 2027.
"Oleh itu, semua jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri diminta terus meningkatkan kesiapsiagaan, mengamalkan perbelanjaan secara berhemah serta memperkukuh koordinasi bagi memastikan kestabilan ekonomi negeri terus terpelihara," katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Pasukan Petugas Khas Menangani Krisis Asia Barat diadakan bagi memperkukuh kesiapsiagaan negeri menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global semasa.
Dalam mesyuarat itu, Selangor Research Institute membentangkan analisis kedudukan ekonomi semasa termasuk potensi impak kos sara hidup rakyat, sektor industri dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzli berkata negeri memandang serius perkembangan krisis Asia Barat yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi global dan domestik termasuk rantaian bekalan, harga komoditi, sektor industri, pelaburan serta kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, katanya, tindakan menyeluruh dan bersepadu diambil melibatkan aspek pemantauan risiko, mitigasi ekonomi, keselamatan bekalan serta komunikasi strategik.
"Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bagi memastikan kebajikan rakyat, kelangsungan industri dan kestabilan ekonomi negeri terus terpelihara," katanya.
April lalu, Amirudin membentangkan pakej berjumlah RM141 juta antaranya bagi mengukuh keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat dan mengawal peningkatan keterlaluan inflasi.
Pakej itu turut menekankan usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan bantuan bersasar kepada golongan paling terkesan susulan krisis Asia Barat ketika ini.










