Hentikan amalan setia berpilih-pilih demi kepentingan politik, tegas MB

21 Mei 2026, 6:12 AM
Hentikan amalan setia berpilih-pilih demi kepentingan politik, tegas MB
Hentikan amalan setia berpilih-pilih demi kepentingan politik, tegas MB

SHAH ALAM, 21 MEI: Semua pihak termasuk pembangkang digesa menghentikan amalan setia berpilih-pilih yang kononnya mempertahankan Raja, agama dan bangsa hanya apabila menguntungkan kedudukan politik mereka.

Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan sikap itu memperlihatkan sesetengah pihak mengabaikan prinsip yang sama apabila tidak memihak kepada kepentingan sendiri.

"Watak ini juga membisu hanya kerana politik apabila terdapat pihak luar yang menghina dan mencela kewibawaan Institusi Diraja Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sempena Aidiladha, jelasnya, seluruh rakyat bertanggungjawab memelihara keamanan, kesejahteraan dan kestabilan negeri serta negara.

Katanya, titah Baginda hadir pada waktu amat penting ketika wujud kecenderungan segelintir pihak meniup api perkauman, memperalat sentimen agama dan institusi diraja demi politik sempit.

"Malaysia dibina bukan atas kebencian kaum ataupun ketakutan agama, tetapi atas semangat muafakat, persefahaman antara pelbagai latar belakang, dan keluhuran undang-undang yang menerima asas pembinaan Malaysia," kata Amirudin.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru rakyat pelbagai kaum sentiasa menghormati sensitiviti antara satu sama lain demi terus memelihara keharmonian dan kestabilan negara.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan semasa yang menyaksikan terlalu banyak pertelingkahan dalam kalangan ahli politik sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Dalam pada itu, Amirudin menegaskan Selangor akan terus berpegang kepada semangat perpaduan, kesederhanaan dan penghormatan terhadap Raja Berperlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

Beliau turut berharap Aidiladha tahun ini mengingatkan semua pihak bahawa pengorbanan terbesar dalam sebuah negara majmuk ialah keberanian untuk menolak kebencian.

"Perpaduan rakyat bukanlah suatu perkara yang boleh diambil mudah tetapi harus dipegang dan diperjuangkan oleh setiap rakyat bagi masa depan bersama," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.