SHAH ALAM, 20 MEI: Operasi pembersihan pencemaran air di Sungai Kabul, Beranang selesai sepenuhnya hari ini dengan keadaan sungai disahkan kembali normal dan terkawal.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan kerja penyedutan dan pembersihan bahan pencemar tamat pada jam 1 tengah hari susulan insiden aliran air berwarna, berbau dan berbuih yang dikesan pada 17 Mei lalu di kawasan perindustrian Mahkota Beranang.
“Pencemaran itu dipercayai berpunca daripada kerosakan kelengkapan kolam rawatan sebuah premis kitar semula plastik sehingga menyebabkan bahan pencemar melimpah ke sistem perparitan sebelum mengalir ke Sungai Kabul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebanyak 48 meter padu isipadu bahan pencemar yang meliputi enam kolam rawatan premis telah disedut menggunakan dua lori tangki berkapasiti lapan dan 40 meter padu milik kontraktor yang dilantik premis.

LUAS berkata, tindakan pencegahan nyahbau turut dilaksanakan menggunakan kira-kira 125 kilogram activated carbon (AC) di kawasan Sungai Kabul.
"Hasil verifikasi di lokasi terlibat mendapati tiada lagi bahan pencemar dikesan manakala pemantauan di Sungai Kabul, Sungai Semenyih dan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih juga menunjukkan tiada lagi bau abnormal.
"Operasi Sistem Jaminan Air Mentah (SJAM) ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari semalam dan LRA Sungai Semenyih kini kembali beroperasi seperti biasa menggunakan bekalan air mentah dari Sungai Semenyih," katanya.
Susulan kejadian itu, LUAS membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air.
LUAS berkata pihaknya akan terus bersiap siaga di lapangan bagi memastikan sebarang pencemaran sumber air dapat dicegah dan ditangani segera.
Pada masa sama, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut mengeluarkan kompaun, menarik lesen operasi serta menyita premis terbabit manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyita kelengkapan dan peralatan premis mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.








