Aktiviti cuci pakaian di asrama pekerja punca Sungai Semenyih berbuih

17 Mei 2026, 2:51 AM
Aktiviti cuci pakaian di asrama pekerja punca Sungai Semenyih berbuih
Aktiviti cuci pakaian di asrama pekerja punca Sungai Semenyih berbuih

SHAH ALAM, 17 MEI: Aktiviti mandian dan cucian pakaian di sebuah asrama pekerja kilang tekstil dipercayai menjadi punca aliran berbuih yang dikesan di Sungai Semenyih malam kelmarin.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata pelepasan air dari ruang mandian dan cucian pakaian di asrama yang dihuni lebih 50 pekerja itu didapati mengalir ke longkang terbuka sebelum masuk ke sungai.

Menurutnya, pasukan LUAS bergegas ke lokasi sekitar jam 9 malam selepas menerima laporan mengenai aliran berbuih sepanjang kira-kira 50 hingga 100 meter di Sungai Semenyih yang berpotensi memberi risiko kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

"Siasatan dijalankan sepanjang malam hingga awal pagi di beberapa lokasi yang disyaki menjadi punca, termasuk kawasan Taman Perindustrian Bersepadu Semenyih dan Perindustrian Hi-Tech 3 Semenyih.

“Penggunaan ruang mandian dan cucian pakaian secara beramai-ramai pada satu masa disyaki menjadi punca kepada aliran berbuih di dalam sungai,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menemukan sebuah asrama pekerja milik kilang tekstil yang dihuni lebih 50 pekerja ketika menjalankan siasatan berhubung aliran berbuih di Sungai Semenyih. - Foto Facebook LUAS

LUAS berkata pensampelan di lokasi sungai dan premis terlibat telah dilakukan sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis dan tindakan penguatkuasaan lanjut.

Menurutnya, sehingga jam 9 pagi semalam, tiada lagi aliran berbuih atau bau abnormal dikesan di kawasan berkenaan.

“Keadaan semasa di tapak dan aliran sungai adalah normal serta terkawal dan tiada risiko kepada operasi LRA,” katanya.

LUAS turut memaklumkan pasukannya akan terus berada dalam keadaan siap siaga di lokasi bagi memastikan sebarang pencemaran sumber air dapat dicegah dan ditangani segera.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.