SHAH ALAM, 19 MEI: Pendekatan menawarkan dasar realistik dan bantuan yang dekat dengan keperluan harian dilihat antara strategi penting untuk menarik sokongan golongan muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Timbalan Ketua Wanita AMANAH, Anfaal Saari berkata inisiatif yang diperkenalkan kerajaan, terutama ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi susulan konflik global, perlu memanfaatkan generasi muda supaya mereka tidak berasa terpinggir.
Anfaal yang juga EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat berkata bantuan bersasar kepada golongan berkenaan mampu membantu menjamin kelangsungan hidup selain meningkatkan keyakinan anak muda terhadap pentadbiran semasa.

“Contohnya dalam Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dilancar susulan konflik Asia Barat ini. Selangor sediakan 50,000 Baucar Kita Selangor. Jadi perlu untuk golongan muda tersenarai sebagai penerima terutama yang diberhentikan kerja.
“Kita juga boleh bantu dalam dasar dan polisi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Selain itu subsidi RM30 untuk pengangkutan awam. Sasarkan juga generasi ini untuk mudahkan mereka selain galakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Timbalan Angkatan Muda KEADILAN, Izuan Kasim berpandangan pendekatan politik identiti yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama tidak lagi sesuai digunakan untuk mendekati generasi muda.
Katanya, golongan itu kini lebih matang dan bijak menilai sesuatu isu kerana terdedah kepada pelbagai sumber maklumat.

“Kita perlu melihat kepada dasar ditawarkan, yang diberi kepada mereka. Ini lebih penting dan dasar ini diterjemahkan dengan baik supaya mereka sedar.
“Kita tak boleh pandang rendah kepada kebijaksanaan anak muda sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning, S Preakas berkata pendekatan mendekati anak muda juga perlu selari dengan minat dan gaya hidup semasa termasuk memperluaskan program e-sukan.

Menurutnya, penganjuran lebih banyak program berkaitan sukan alam maya mampu menjadi platform mendekati serta menyantuni golongan muda.
“Rancakkan lagi program sukan ini sebagai tanda sokongan. Bagaimanapun, sektor pendidikan juga perlu diutamakan kerana ia menjadi asas kepada kemajuan negeri,” katanya.








