PETALING JAYA, 19 MEI: Program Permukiman Sasterawan dan Karyawan disifatkan sebagai platform penting dalam memperkasa dunia kesusasteraan negara melalui perkongsian idea, pengalaman serta pandangan dalam kalangan penggiat seni dan budaya.
Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh berkata, program anjuran pentadbiran Selangor itu memberi peluang kepada pengarang berpengalaman menilai perkembangan sastera tempatan termasuk kejayaan serta kekurangan yang perlu diperbaiki.
Menurutnya, usaha itu juga mampu membuka ruang kepada projek lebih besar termasuk penterjemahan karya tempatan ke pelbagai bahasa bagi memperluas jaringan ilmu dan budaya.
"Kita perlu adakan juga terjemahan karya dari Selangor ke dalam Bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa lain. Dan juga sebab kita mesti menterjemah karya dari India, Iqbal, Iran, Inggeris dan Amerika Syarikat. Jadi ada dua arah pergerakan ilmu, pengalaman dan imaginasi ini sangat baik," katanya.

Beliau turut mencadangkan lebih ramai pengarang muda dibawa menyertai program sedemikian bagi berkongsi maklumat, masalah dan karya masing-masing.
Katanya, langkah itu mampu membantu menggerakkan industri sastera yang ketika ini dilihat agak tersekat.
"Sekarang ini saya rasa kita tersekat. Tak ke mana,atas sedikit, ke bawah sedikit tapi tak terlalu banyak pergerakan," ujarnya.
Sementara itu, Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan menyifatkan penganjuran program berkenaan bukan sesuatu yang mudah, justeru memuji inisiatif Kerajaan Negeri dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)menganjurkannya.
Beliau berkata golongan sasterawan dan budayawan perlu diberikan ruang supaya suara mereka didengari, khususnya dalam usaha memikirkan masa depan masyarakat dan bangsa.

"Acara macam ni mestilah diadakan untuk memberi peluang kepada rakyat atau birokrasi sendiri berfikir cara untuk memperbaiki keadaan jika perlu diperbaiki," katanya.
Beliau turut berharap program berkenaan diteruskan pada masa akan datang agar usaha memperkasa dunia sastera tidak terhenti setakat itu sahaja.
Dalam pada itu, pelukis Datuk A Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda berkata program tersebut menjadi platform awal untuk menarik minat golongan muda mendekati bidang sastera.
Katanya, generasi muda kini lebih terdedah kepada gajet dan hiburan popular sehingga ramai tidak mengenali tokoh sasterawan negara.

"Macam mana kita nak ubah pemikiran mereka sedikit demi sedikit, itu sangat berat dan menjadi tanggungjawab orang yang datang seminar ini," katanya.
Beliau berkata golongan sasterawan dan karyawan perlu memainkan peranan memperkenalkan tokoh budaya serta karya tempatan kepada generasi muda melalui pendekatan lebih dekat dengan jiwa mereka.
Menurutnya, program seperti pertandingan puisi, pantun dan aktiviti kreatif lain boleh dijadikan langkah permulaan untuk memupuk minat pelajar terhadap sastera sejak kecil.










