Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia juara Kumpulan A, mara ke suku akhir

18 Mei 2026, 4:45 AM
Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia juara Kumpulan A, mara ke suku akhir

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Skuad regu negara meneruskan rentak kecemerlangan melangkah ke suku akhir apabila menjuarai Kumpulan A selepas mudah ‘melibas’ Singapura 2-0 pada aksi kedua kumpulan kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini, menyaksikan skuad negara dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohd Azlan Alias, Farhan Adam tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Singapura diwakili Muhammad Effendy Khamis, Muhammad Tasman Mohammad Belal dan Abdul Hammirruddin Noor.

Mohammad Syahir melakukan kesilapan pada tiga servis awal di set pertama merencatkan mata skuad negara, namun Malaysia kembali bangkit menjarakkan kedudukan sebelum menang 15-9.

Set kedua menyaksikan skuad kendalian Ahmad Jais Baharudin yang membawa masuk Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin membenam pasukan pelawat 15-5.

Sementara itu, Ahmad Jais menyifatkan aksi skuad regu negara agak perlahan dalam mendapatkan rentak pada awal perlawanan meskipun berjaya memenangi kedua-dua set.

“Secara keseluruhan di peringkat kumpulan, regu kita masih berada pada tahap 70-80 peratus. Dari segi momentum mereka belum lagi mencapai ke tahap yang terbaik dan kita harap prestasi pasukan regu akan terus meningkat.

“Servis sebenarnya memerlukan ketepatan dan kita nampak perkara ini boleh diperbaiki dari semasa ke semasa supaya regu kita dapat mempamerkan prestasi yang lebih baik,” katanya selepas perlawanan.

Sebelum menjuarai Kumpulan A, Malaysia terlebih dahulu menewaskan Jepun 2-0 pada aksi pertama dan dijadual bertemu Filipina selaku naib juara Kumpulan D pada aksi suku akhir malam ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.